Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini membuat laporan polis berhubung 312 kes penipuan pengeluaran caruman KWSP berjumlah RM1.6 juta yang membabitkan ahli dan dua institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di sekitar Lembah Klang.

Laporan itu dibuat oleh Pengurus Kanan Unit Keutuhan Integriti dan Fraud KWSP, Mohd Apipi Yaacob, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 11 pagi tadi.

Dalam laporan itu, Mohd Apipi mendakwa kedua-dua IPTS itu disyaki bersubahat dengan ahli membuat penipuan pengeluaran simpanan KWSP dengan berselindung menawarkan kursus di institusi berkenaan.

Bercakap kepada pemberita di IPD Dang Wangi, Mohd Apipi berkata rekod yang diperolehi KWSP bagaimanapun menunjukkan pelajar terbabit tidak mengikuti kursus berkenaan.

"IPTS tersebut dipercayai telah menyediakan dokumen untuk menyokong permohonan pengeluaran `pelajar-pelajar' itu dengan mengenakan `bayaran perkhidmatan' daripada simpanan yang dikeluarkan," katanya.

'Orang dalam'

Sementera itu, Bernama melaporkan, Pengurus Kanan Perhubungan Awam KWSP Nik Affendi Jaafar pula berkata, pihaknya mengesan kes penipuan pengeluaran sejak 2003 hingga 2004 melalui siasatan antara bulan Januari dan April tahun ini, berdasarkan maklumat yang diterima daripada orang ramai dan siasatan dalaman KWSP sendiri.

"Kami telah membekukan pengeluaran daripada dua IPTS berkenaan dan akan terus memantau dan menyiasat permohonan pengeluaran simpanan sedemikian yang disyaki terbabit dengan kes penipuan ini," katanya.

Ditanya kemungkinan "orang dalam" terlibat dalam penipuan itu, Nik Affendi berkata hasil siasatan setakat ini tidak menunjukkan kemungkinan itu.

"Simpanan yang dikeluarkan melalui penipuan ini tidak digunakan oleh ahli untuk tujuan dipohon dan ia adalah satu kesalahan di bawah Akta KWSP 1991. Ini adalah kesalahan serius dan KWSP telah mengambil tindakan bukan sahaja terhadap IPTS berkenaan tetapi juga ahli yang terbabit," katanya.