Ayah Pin dilihat di Tganu dua hari lalu
Ketua kumpulan Ayah Pin Ariffin Muhammad yang sedang diburu pihak berkuasa selepas 58 pengikutnya ditahan pada 20 Julai lalu, dilihat berada di Terengganu dua hari lalu.
Ketua kumpulan Ayah Pin Ariffin Muhammad yang sedang diburu pihak berkuasa selepas 58 pengikutnya ditahan pada 20 Julai lalu, dilihat berada di Terengganu dua hari lalu.
Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Terengganu (JHEAT) Shaikh Harun Ismail berkata berdasarkan risikan dan maklumat orang ramai, Ariffin, 65, yang dikenali sebagai Ayah Pin, dilihat di negeri itu tetapi lokasinya tidak dinyatakan.
"Sebenarnya dia takut ditangkap oleh pihak berkuasa. Kalau betul (seperti yang dia dakwa) dia ghaib atau kebal, kenapa dia tidak keluar,"katanya ketika ditanya mengenai kedudukan Ayah Pin dan isteri pertamanya Che Minah Remeli, 58, yang masih diburu pihak berkuasa.
Dua hari lalu, tiga lagi isterinya Che Jaharah Awang, 45, Ruzilan Mukhtar, 41, dan Nik Kamariah Nik Pah, 33, ditahan sepasukan polis dari kontinjen Kelantan di sebuah rumah di Kampung Sungai Pinang, Palekbang, Tumpat, Kelantan.
Mereka kemudiannya dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Besut semalam atas tuduhan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana mengingkari perintah berkuasa agama.
Shaikh Harun berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai tempat persembunyian Ayah Pin supaya menghubungi JHEAT di talian 09-6252525 atau Pejabat Agama Daerah Besut di talian 09-6956249.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.