Status kualiti udara di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia dijangka merosot dalam tempoh beberapa hari akan datang berikutan kesan kebakaran meluas di Indonesia khususnya di Sumatera.

Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Rosnani Ibarahim berkata kemerosotan kualiti udara itu berlaku hasil daripada pergerakan angin monsun yang bertiup dari arah Barat daya Pulau Sumatera ke Semenanjung menyebabkan kesan kebakaran itu turut dirasai di negara ini.

"Kesan kebakaran merentasi sempadan itu dijangka menyebabkan beberapa kawasan khususnya di pantai barat Semenanjung merasai sedikit kesan kemerosotan kualiti udara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata perkara itu disedari setelah imej satelit semalam mengesan di Indonesia terdapat sebanyak 587 titik panas di wilayah Riau dan Utara Sumatera, 16 titik panas di Kalimantan dan 17 titik panas di Sarawak.

Bagi menggelakkan kualiti udara terus terjejas, Jabatan Alam Sekitar (JAS) secara berterusan mengawasi setiap hari antara pukul 2 petang dan 9 malam kawasan-kawasan yang mudah terbakar, selain kawasan industri dan kenderaan bermotor yang melepaskan asap hitam.

"Bilik Operasi JAS juga dibuka mulai 7.30 pagi hingga 11.30 malam untuk memudahkan orang ramai membuat aduan dan menyalurkan maklumat kejadian pembakaran terbuka yang berlaku di kawasan masing-masing kepada pasukan penguatkuasa JAS," katanya.

Rosnani berkata sehingga pukul 11 pagi ini, kebanyakan kawasan di seluruh negara mencatatkan status kualiti udara baik dan sederhana kecuali di Seri Manjung, Perak, kualiti udaranya pada tahap tidak sihat.

Jarak penghilihatan 10km

Menuru laporan Bernama, beliau berkata, jarak penglihatan di kebanyakan kawasan di seluruh negara juga baik iaitu melebihi 10km.

"Bagaimanapun, beberapa kawasan seperti Bayan Lepas, Chuping, Ipoh, Batu Embun dan Petaling Jaya mencatatkan jarak penglihatan antara 8km dan 9km, manakala di Alor Setar, Setiawan, Subang dan Kuching mencatatkan jarak penglihatan 5km hingga 7km," katanya.

Beliau berkata 16 kawasan yang mencatatkan status kualiti udara yang baik ialah Alor Setar, Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang, Labuan, Langkawi, Pasir Gudang, Larkin, Pengkalan Chepa, Kota Baharu, Kemaman, Kuantan (Indera Mahkota), Sarikei, Limbang, Kapit, Petra Jaya, Kota Kinabalu dan Tawau.

Antara 32 kawasan yang status udara sederhana ialah sekitar Lembah Klang, Kangar, Sungai Petani, Perai, Ipoh, Taiping, Tanjung Malim, Seremban, Nilai, Bandaraya Melaka, Muar, Johor Baharu, Kuala Terengganu, Jerantut, Kuantan (Balok Baru), Kuching, Sibu, Bintulu, Miri, Samarahan, Sri Aman dan Keningau.