Bekas timbalan menteri dari MCA, Gan Ping Sieu, meminta Liew Chin Tong tidak mengheret parti itu dalam pertikaian mengenai bazar Ramadan Kluang.

Malah kata Gan, beliau tidak akan melibatkan diri dalam permainan politik Liew yang didakwanya membawa perpecahan itu.

"Saya sudah memberikan reaksi balas mengenai insiden itu dengan menghubungi ketua polis daerah yang sejak itu mengambil tindakan profesional.

"Biarkan polis menjalankan siasatan bagi mengesan puncak kekecohan di bazar Ramadan Kluang itu," katanya dalam satu kenyataan.

Liew yang juga anggota parlimen Kluang dihalang serta dihalau dari bazar Ramadan berkenaan pada Ahad lalu ketika mahu mengagih-agihkan buah kurma kepada orang ramai.

Beliau yang juga pengerusi DAP Johor turut diiringi anggota serta penyokong parti dalam Pakatan Harapan.

Kekecohan berlaku apabila sekumpulan lelaki - termasuk seorang daripadanya mengaku imam - mengarahkan mereka beredar dari memasuki kawasan pasar kering di bazar berkenaan.

Tiada hak halang

Dua pemimpin Umno Johor kemudian mempertahankan tindakan menghalang rombongan Liew dan mendakwa peniaga di situ marah apabila DAP bertanggungjawab mendesak bazar asal dipindahkan ke lokasi sedia ada pada 2007.

Bagaimanapun Liew mendakwa desakan supaya bazar lama dipindahkan ke lokasi baru dibuat oleh MCA. Malah katanya DAP juga tidak mempunyai sebarang wakil rakyat di Johor sehinggalah 2008.

Malaysiakini tidak mendedahkan nama tokoh yang dipetik Liew semalam bagi mendapatkan komen daripada individu terbabit.

Gan yang sebelum ini pernah berkhidmat naib presiden MCA, senator dan timbalan menteri belia dan sukan berkata kekecohan pada Ahad lalu adalah kes terpencil.

"Liew memang mempunyai rekod gemar memainkan politik parti dan seolah-olah menikmati amalan mempolitikkan sesuatu isu di luar konteks demi keuntungan pihaknya walaupun mengorbankan masyarakat.

"Saya tidak terkejut jika beliau tidak dialu-alukan oleh beberapa peniaga. Pernah beberapa kali beliau berdepan dengan layanan kasar daripada penduduk tempatan.

"Namun saya mesti menegaskan bahawa tidak ada sesiapa berhak menghalang seseorang daripada memasuki bazar Ramadan yang diadakan di tempat awam," katanya.

Hasil perbualannya dengan ketua polis daerah Kluang, kata Gan, beberapa perubahan dibuat dan peraturan ditetapkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

"Liew sepatutnya lebih tahu apa peranan DAP semasa itu.

"Saya telah melawat bazar Ramadan hampir setiap tahun sejak itu tanpa dimalukan penjaja.

"Liew perlu belajar mencari sebab keadaan berlaku, bukannya mempolitikkan sesuatu isu dan memanaskan keadaan," katanya yang kini menjadi presiden bersama Centre for A Better Tomorrow (Cenbet).

[Baca berita asal]