Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: Trump disiasat mungkin halang keadilan
Diterbitkan:  Jun 15, 2017 9:52 AM
Dikemaskini: 3:05 AM

Presiden AS Donald Trump sedang disiasat oleh peguam khas Robert Mueller terhadap kemungkinan menghalang keadilan, lapor Washington Post pada hari Rabu, dengan memetik para pegawai yang tidak dinamakan.

Mueller sedang menyiasat dakwaan campur tangan Rusia dalam pilihan raya presiden AS 2016 dan mungkin bersubahat dengan kempen Trump. Bekas Pengarah FBI James Comey memberitahu Kongres minggu lepas beliau percaya dia dipecat oleh Trump untuk menjejaskan siasatan tersebut.

The Washington Post, memetik lima orang yang mendapat taklimat dengan syarat nama mereka tidak disiarkan, melaporkan Dan Coats, pengarah perisikan kebangsaan, Mike Rogers, ketua Agensi Keselamatan Negara, dan Richard Ledgett, bekas Timbalan Pengarah di NSA , telah bersetuju untuk ditemuramah oleh penyiasat Mueller seawal minggu ini.

Siasatan mengenai halangan keadilan terhdap Trump bermula beberapa hari selepas Comey dipecat pada 9 Mei, demikian menurut mereka yang biasa dengan perkara itu, kata Washington Post.

Pasukan peguam Trump terus mengecam laporan itu pada hari Rabu.

"Kebocoran maklumat FBI mengenai Presiden adalah keterlaluan, tidak boleh dimaafkan dan tidak sah," kata jurucakap pasukan peguam Trump, Mark Corallo.

Jurucakap pasukan Mueller enggan mengulas.

Beberapa pakar undang-undang memberitahu Reuters bahawa testimoni Comey minggu lepas bahawa Trump mahukan kesetiaannya dan berharap Comey menggugurkan siasatan terhadap bekas pembantu kanan, boleh memperkuatkan lagi dakwaan halangan keadilan terhadap Trump.

Comey tidak mahu menyatakan dalam keterangannya minggu lalu sama ada beliau berpendapat presiden mahu menghalang keadilan tetapi menambah ia terpulang kepada peguam khas Mueller "untuk menentukannya."

Selepas testimoni Comey itu, Trump berkata ia menyangkal tuduhan terhadapnya kerana bekas pengarah FBI itu mengesahkan memberitahu Trump sebanyak tiga kali bahawa presiden itu tidak disiasat.

Manakala presiden itu tidak mungkin menghadapi pendakwaan jenayah, namun menghalang keadilan boleh menjadi asas bagi pemecatan. Sebarang langkah seumpama itu akan menghadapi halangan kuat kerana ia memerlukan kelulusan Kongres AS, yang dikuasai oleh rakan-rakan Republikan Trump. [Baca berita penuh]

Reuter

Lihat Komen
ADS