Sekurang-kurangnya 17 orang terkorban dan 26 yang lain cedera manakala jumlah dijadikan tebusan masih belum dapat dikenal pasti apabila lelaki bersenjata menyerang dua restoran di Somalia, Mogadishu pada Rabu malam, menurut pihak penyelamat lapor agensi berita China Xinhua.

Pegawai Polis Mohamed Nur berkata, kejadian dipercayai berpunca apabila seorang pengebom bunuh diri memandu kereta sarat dengan bahan letupan ke restoran Posh di daerah Hodan sebelum meletupkannya.

Sementara itu, sekumpulan lagi lelaki bersenjata meletupkan sebuah restoran Pizza berdekatan dengan restoran Posh.

Kedua-dua restoran berkenaan sering dikunjungi pegawai kerajaan dan golongan muda.

Kumpulan Al-Shabaab yang berpangkalan di Somalia mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu.

Kumpulan yang bersekutu dengan Al-Qaeda itu, sering melancarkan serangan dengan menjadikan institusi kerajaan dan orang awam sebagai sasaran, sejak kumpulan militan dipaksa keluar dari Mogadishu oleh tentera Kesatuan Afrika (AU) pada 2011.

Presiden Somalia Mohamed Abdullah Mohamed pada April mengisytiharkan perang terhadap puak pelampau dan menawarkan pengampunan kepada militan yang menyerah diri dalam tempoh 60 hari.

Pada hari Ahad, pasukan khas tentera Somalia memusnahkan satu daripada kubu utama Al-Shabaab di bahagian selatan negara selain membunuh lapan anggota kumpulan berkenaan.

- Bernama