Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelantikan Kamaruddin bukti rakyat Sabah diiktiraf - Musa
Diterbitkan:  Jun 15, 2017 4:23 PM
Dikemaskini: 9:52 AM

Pelantikan Prof Dr D Kamarudin D Mudin sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) membuktikan bahawa rakyat Sabah mempunyai keupayaan dan kebolehan serta mendapat pengiktirafan daripada kerajaan pusat, khususnya Kementerian Pendidikan Tinggi, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh atas kepercayaan yang diberikan kepada rakyat Sabah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Musa berkata kerajaan Sabah merakamkan ucapan tahniah kepada Dr D Kamarudin, 49 yang bakal menggantikan Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah yang tamat penggal pada 17 Jun, sekali gus menjadi naib canselor kelima universiti tersebut.

"Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas sokongan dan keprihatinan yang dibangkitkan berkaitan pelantikan naib canselor UMS," katanya.

Musa berkata pihakya percaya dengan pengalaman dan kelayakannnya Dr D Kamarudin dapat memimpin UMS dengan lebih cemerlang lagi.

Dr D Kamarudin merupakan Profesor Gred Khas C (Perubatan) dengan kepakaran dalam bidang anestesiologi dan pernah memegang jawatan sebagai dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan sebelum dilantik sebagai timbalan naib canselor UMS pada April 2015.

Beliau yang berasal dari Kota Belud pernah berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan di Hospital Queen Elizabeth selama 12 tahun sebelum menyertai UMS pada 2004.

- Bernama
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS