Kelewatan Bank Negara meluluskan perlantikan semula anak lelaki Ketua Menteri Sarawak Datuk Sulaiman Taib sebagai pengarah dan pengerusi eksekutif Bank RHB telah menimbulkan tandatanya mengenai masa depan pegangan keluarganya dalam sektor pembankan dan peranan masa depannya dalam politik.

Tempoh dua tahun jawatan Sulaiman sebagai pengarah dan pengerusi eksekutif Bank RHB satu daripada 10 bank induk di negara ini tamat pada 21 Jun dan bank berkenaan telah menulis kepada bank pusat itu mencadangkan perlantikannya semula ke jawatan tersebut.

Sumber-sumber industri bank memberitahu malaysiakini, pada kebiasaannya, Bank Negara akan memberi kelulusan serta-merta terhadap cadangan perlantikan semula seumpama itu.

Bagaimanapun, kali ini, keadaannya berbeza dalam kes Bank RHB dan sekaligus mencetuskan tandatanya mengenai kelewatan tersebut.

Sulaiman, 37, dikatakan mempunyai 22.58 peratus pegangan saham dalam Cahaya Mata Sarawak Berhad (CMSB) yang mempunyai 51.8 peratus pegangan dalam Utama Banking Group Bhd yang seterusnya memiliki 32.87 saham RHB.

Bakal dimbilalih?

Sementara itu, timbul desas-desus yang menyatakan Bank RHB mungkin terbabit dalam fasa kedua proses penyatuan industri pembankan negara ini, di mana jumlah bank induk dijangka dikurangkan kepada lima buah sahaja.

Spekulasi tersebut, yang telahpun dinafikan oleh RHB Capital, menyebut Commerce International Merchant Bankers (CIMB), yang memiliki 100 peratus pegangan dalam Bumiputera Commerce Bank Bhd, akan menyerapkan RHB ke dalam kumpulan tersebut.

Sumber-sumber berkata, selepas membeli Bank RHB, keluarga Taib telah cuba menukar nama bank itu kepada Bank CMB tetapi tidak berjaya. Calon ketua pegawai eksekutif yang dicadangkannya juga ditolak oleh Bank Negara.

"Keluarga Taib memiliki pegangan secara langsung dan tidak langsung sebanyak 20 peratus dalam Bank RHB manakala bakinya dipegang oleh agensi-agensi kerajaan pusat atau syarikat berkaitan dengan kerajaan," kata sumber-sumber itu.

Yang menariknya, pada 29 Julai lalu, Bank Negara meluluskan cadangan salah satu pemegang utama saham Bank RHB Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk melantik Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azlan Zainol sebagai pengarah RHB Capital, ditengah-tengah desas-desus bahawa KWSP akan meningkatkan pegangannya dalam bank tersebut.

"Seandainya Bank Negara akhirnya meluluskan perlantikan semula Sulaiman, beliau akan hanya menjadi pengerusi lembaga pengarah, manakala Ketua Pegawai Eksekutifnya akan mengendalikan operasi kumpulan bank tersebut.

Juga terdapat desas-desus bahawa keluarga Taib mahu mendapatkan semula pelaburan mereka dalam bank tersebut.

Rancangan Taib

Bagi Sulaiman, ia mungkin bertepatan dengan rancangan bapanya untuk membabitkannya dalam politik. Menurut desas-desus, beliau dijangka diletak bertanding sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lambir, menggantikan penyandangnya sekarang, Aidan Wing.

Wing pula mungkin dipindahkan ke kawasan baru di Bekenu atau diminta menumpukan sepenuh masa kepada tugasnya sebagai pengarah urusan syarikat penerbangan milik kerajaan negeri, Hornbill Skyways.

Manakala sumber-sumber dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pimpinan Taib, berkata, anak lelaki ketua menteri itu mungkin dilantik sebagai bendahari parti itu bulan depan.

Jawatan tersebut kini dipegang oleh Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Negeri, Awang Tengah Ali Hasan.

Sulaiman, yang juga pengerusi Kumpulan Syarikat CMSB milik keluarganya, tidak dapat dihubungi untuk mengulas perkara tersebut. Terjemahan/ berita asal


TONY THIEN adalah wartawan sambilan malaysiakini di Sarawak.