Suaram kritik senarai hitam Pemuda Umno
Tindakan Pemuda Umno menghantar "senarai hitam" nama pelajar Universiti Malaya yang dianggap antikerajaan disifatkan tanda "perasaan tidak selamat" pergerakan itu yang semakin hilang pengaruh di kalangan generasi muda.
"Pada saat (Perdana Menteri) Dr Mahathir Mohamad berkhutbah agar universiti perlu bebas daripada pengaruh politik, Pemuda Umno bertindak sebaliknya," kata Suara Rakyat Malaysia (Suaram) hari ini.
Laman web berita Radiqradio.com semalam melaporkan Naib Canselor UM Datuk Anuar Zaini Mohd Zin mendedahkan beliau mempunyai senarai hitam nama pelajar universiti itu yang diserahkan oleh Pemuda Umno.
"Universiti akan bertindak atas maklumat ini dengan kerjasama polis," laporan laman web radio Internet itu dipetik. Anuar Zaini dilaporkan mengeluarkan kenyataan itu selepas lawatan Yang di- Pertuan Agong ke tapak Dewan Tunku Canselor dua hari lalu.
Malaysiakini hari ini gagal menghubungi Anuar Zaini bagi mendapatkan ulasan lanjut.
Isnin lalu, Pemuda menyerahkan "bukti mengenai tindak-tanduk dalang yang menyebarkan fahaman antikerajaan" di kampus itu.
Jurucakap Suaram, Cynthia Gabriel, berkata percubaan Pemuda itu yang cuba melumpuhkan sokongan kepada pembangkang tidak akan berjaya "memadamkan perasaan tidak senang" di kalangan pelajar.
"Malah, ia tambah memufliskan Pemuda Umno dalam usahanya untuk menguatkan pertubuhan itu yang semakin lemah," katanya.
Dalam laporan Berita Harian pula, selepas acara yang sama, Anuar Zaini berkata semua peraturan mengenai kegiatan persatuan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) akan diselaraskan bagi membendung kegiatan antikerajaan.
Pelarasan peraturan itu yang kini di peringkat kajian, dibuat bagi memastikan pelajar IPT awam memberi sepenuh tumpuan terhadap pelajaran dan kegiatan yang boleh mencerna kecemerlangan ilmu.
"Kita sedang mengkaji pada peringkat nasional untuk membuat peraturan ini. Masalah ini bukan saja berlaku di UM, tetapi semua IPT awam," katanya.
Tambahnya, kajian mengenai peraturan baru itu akan mengambil kira cadangan Perdana Menteri dan kerajaan mengenai masalah pelajar.
Dr Mahathir sebelum ini memberi amaran, pelajar IPT yang didapati terbabit dalam gerakan menentang kerajaan akan disingkir.
Beliau menegaskan, kerajaan akan mengenakan syarat seperti itu kepada pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke universiti kerana ramai pelajar, terutama Melayu, terbabit dalam gerakan antikerajaan.

