Kjaan digesa biayai subsidi minyak melalui cukai ke atas Petronas
Kerajaan dicadang mengenakan cukai ke atas Petronas bagi membolehkannya membiayai RM1 bilion subsidi bahan api tanpa perlu menaikkan harga petrol dan diesel.
Kerajaan dicadang mengenakan cukai ke atas Petronas bagi membolehkannya membiayai RM1 bilion subsidi bahan api tanpa perlu menaikkan harga petrol dan diesel.
Naib Presiden PAS, Husam Musa berkata, Petronas memperolehi keuntungan yang besar hasil kenaikan harga bahan mentah itu di pasaran dunia.
Pada tahun 2003, katanya, hasil Petronas ialah RM24.32 bilion, meningkat kepada RM35.5 bilion pada 2004 dan melonjak kepada RM58.03 bilion tahun ini.
"Ternyata sekali, Petronas mendapat keuntungan besar hasil kenaikan harga minyak dunia. Mengapakah keuntungan ini tidak dapat disalurkan bagi faedah ekonomi dan rakyat?" katanya dalam satu kenyataan.
Selama ini, katanya, Petronas melaburkan wangnya dalam projek mewah seperti pembinaan Putrajaya dan Menara Berkembar KLCC.
Beliau berkata, hujah bahawa kenaikan harga minyak dunia telah memaksa kerajaan mengurangkan subsidi bahan api, hanya menggambarkan ketidakpekaan dan kemampuan kerajaan menguruskan lebihan pendapatan Petronas, hasil peningkatan harga minyak dunia.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapha Mohamad berkata, penjimatan RM1 bilion ringgit daripada subsidi itu boleh dibelanjakan untuk pembangunan.
Kerajaan masih mampu
Bagaimanapun, Husam berkata, tanpa RM1 bilion itu pun kerajaan masih boleh menjanakan ekonomi negara melalui perbelanjaan rakyat dalam pelbagai cara.
"Kenyataan pemimpin kerajaan untuk menurunkan subsidi petrol dan diesel bagi membolehkan kita mempunyai wang yang lebih untuk pembangunan menggambarkan negara seolah-olah negara kehabisan wang," katanya.
Menurut Husam lagi, khazanah minyak dan gas cukup untuk mengapungkan kedudukan ekonomi negara kerana apabila harga naik, pendapatan turut meningkat.
"Kita juga tidak boleh bandingkan kedudukan harga minyak negara ini dengan negara serantau seperti Indonesia dan Thailand. Ini kerana purata pengeluaran minyak berbanding penduduk, kedudukan kita adalah jauh lebih besar," katanya.
Lagi pula, katanya, Thailand tidak mengenakan cukai jalan serta tol dan ini bermakna kos pengangkutan di negara tersebut lebih rendah.
Menurutnya, buat kali pertama, harga diesel di negara kita lebih mahal dari pasaran Indonesia.
Berikutan itu, Husam menggesa kerajaan mengkaji satu mekanisme di mana keuntungan besar yang diperolehi daripada minyak berikutan kenaikan harga minyak dunia, dapat disalurkan untuk rakyat, terutama dalam menentukan harga petrol dan diesel.

