Perhimpunan agung MCA akan turut membincangkan cadangan Pemuda Umno untuk menghidupkan semula semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB), kata Naib Presiden MCA Datuk Dr Fong Chan Onn.

Beliau berkata, perhimpunan dari 19 hingga 21 Ogos itu, berkemungkinan akan mengeluarkan satu resolusi mengenai perkara itu di samping dua isu utama yang membabitkan pendidikan Cina dan ekonomi negara.

"Perwakilan akan memberikan perhatian sepenuhnya mengenai Rancangan Malaysia Kesembilan dan falsafahnya. Kita membenarkan mereka membincang dan mengemukakan sebarang topik yang mereka kehendaki.

"Saya pasti isu DEB dan isu yang membabitkan masyarakat Cina seperti kedudukan ekonomi akan dibincangkan semasa perhimpunan itu kerana perkara itu adalah antara topik hangat sekarang," kata beliau kepada Bernama.

Fong yang juga Menteri Sumber Manusia bagaimanapun enggan membuat spekulasi mengenai bentuk resolusi yang akan diambil MCA yang merupakan parti komponen Barisan Nasional (BN) kedua terbesar selepas Umno.

Keluarkan resolusi

Beliau juga menafikan dakwaan oleh parti pembangkang Cina bahawa perhimpunan itu merupakan satu lagi badan yang sekadar hanya patuh kepada Umno dan kerajaan, dan akan mengeluarkan resolusi untuk menyokong cadangan Pemuda Umno mengenai DEB.

Walaupun DEB telah tamat pada 1990 tetapi banyak dasarnya berpihak kepada Bumiputera atau majoriti masyarakat Melayu yang masih kekal sehingga hari ini.

Cadangan menghidupkan semula DEB yang tamat pada 1990 dibuat oleh Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin sewaktu Perhimpunan Agung Umno bulan lalu.

Semasa berucap pada perwakilan Pemuda semasa perhimpunan itu, Khairy menyarankan DEB dihidupkan semula bagi memastikan 30 peratus pemilikan Bumiputera dalam ekonomi negara, yang merupakan salah satu sasaran di bawah DEB, dicapai.

Sungguhpun komitmen kerajaan kepada bumiputera berbilion ringgit sejak 1990, peratus keuntungan ekonomi oleh masyarakat itu kekal tidak berubah pada 18.7 peratus sehingga hari ini.