Rayuan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad terhadap tindakan Umno menggantung keahliannya selama enam tahun kerana kesalahan rasuah politik, belum dapat diselesaikan lagi kerana kesnya itu mempunyai banyak kaitan dengan kes-kes lain yang sedang dibicarakan, kata Pengerusi Panel Rayuan Umno Tan Sri Mohd Zuki Kamaluddin.

Katanya, panel itu perlu meneliti setiap kes yang ada hubungkait dengan kes bekas naib presiden Umno itu sebelum ia dapat mengemukakan cadangan kepada Majlis Tertinggi parti untuk membuat keputusan.

Beliau berkata, oleh kerana semua rayuan oleh ahli Umno yang dikenakan tindakan disiplin kerana melanggar tataetika parti, akan dikaji secara terperinci sebelum laporan itu dikemukakan kepada MT, maka panel itu belum dapat membuat penilaian terhadap rayuan yang dikemukakan termasuk oleh Mohd Isa, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan.

"Kita mengadili seorang insan...jangan main-main. Kita (lembaga) akan bertanggungjawab, saya akan bertanggungjawab di akhirat nanti...apa yang dibuat betul atau tak betul. Tapi kita manusia kita buat (sekadar) apa yang kita boleh buat," katanya kepada pemberita sebelum mempengerusikan mesyuarat panel itu di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur.

Zuki berkata, mesyuarat hari ini membincangkan rayuan ahli exco kerajaan Pahang, Datuk Shahiruddin Abdul Moin yang digantung dua tahun, serta empat lagi ahli Umno yang digantung keahlian tiga tahun.

Surat rayuan

Mereka ialah Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Amil Salleh; Timbalan Ketua Umno Bahagian Pandan, Jamaluddin Ropa serta Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narashid (dari Bahagian Kluang) dan Zubir Jamal (Bahagian Teluk Kemang).

Menurutnya, kelima-lima kes rayuan itu dijangka dapat diselesaikan esok dan laporan mengenainya akan diserahkan kepada MT pertengahan bulan ini.

Ditanya sama ada mereka yang membuat rayuan akan dipanggil, Zuki berkata : "Tidak...kita tak panggil...biasanya dalam rayuan ini kita berpegang kepada surat rayuan dia dan kepada surat lembaga disiplin, dan prosiding lembaga disiplin kita ikuti satu persatu."

Menurut laporan Bernama, Zuki berkata, seseorang itu akan merayu berdasarkan sebab tertentu, umpamanya, kerana merasakan dia tidak bersalah atau merayu minta dikurangkan hukuman.

"Kita akan pertimbangkan...apa juga yang dia rayu kita akan teliti sebab seseorang yang merayu itu mesti dia akan merayu secara ihklas, dan oleh itu kita mesti teliti secara benar atau ikhlas," katanya.

Panel rayuan itu dianggotai bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Sabbaruddin Chik; peguam Tan Sri Khalid Ahmad Sulaiman; bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff; bekas Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Alias Ali; bekas Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu (M) Sdn Bhd, Tan Sri Kamarul Ariffin Mohd Yassin; dan tokoh korporat Datuk Seri Megat Najmuddin Megat Khas.