Ketua Umno Cawangan Kampung Sejahtera, Segambut Mohd Hanif Ali Akbar meminta Umno, pihak polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya menjelaskan kedudukan aduannya mengenai salahlaku dan penyelewengan oleh Ketua Umno Bahagian Segambut, Senator Datuk Kamaruddin Ambok yang dibuatnya tiga bulan lalu.

Katanya, beliau telah membuat tiga laporan terhadap Kamaruddin dua laporan BPR dan satu laporan polis serta menghantar aduan yang sama kepada pemimpin tinggi Umno, termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Bagaimanapun, Mohd Hanif berkata, sehingga hari ini beliau belum menerima sebarang maklum balas daripada ketiga-tiga pihak terbabit walaupun tiga bulan telah berlalu.

"Saya mahu tahu status aduan saya kepada Umno, polis dan BPR? Adakah siasatan sudah dibuat atau sebaliknya. Kalau sudah, umumkan kedudukan siasatan tersebut?" katanya.

Dalam aduannya itu, Hanif mendakwa Kamaruddin telah menerima RM15,000 dari pemaju projek lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) untuk mengadakan majlis dialog dan penerangan bagi pemindahan setinggan yang terbabit dengan projek berkenaan.

Bagaimanapun, dakwanya, Kamaruddin telah meminta syarikat pemegang konsesi lebuhraya tersebut, Korsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn Bhd (Kesturi) memasukkan wang tersebut ke dalam akaun pembantu peribadinya, Hassan Sulaiman.

Sebaliknya, Haniff mendakwa, wang tersebut tidak digunakan untuk mengadakan majlis berkenaan, tetapi digunakan untuk membiayai majlis sambutan Aidifitri di rumah Kamaruddin.

Status pemindahan

"Kamaruddin ( gambar ) mengambil kesempatan daripada kedudukannya sebagai Ketua Umno Bahagian Segambut untuk menerima wang sumbangan dari Kesturi itu. Saya difahamkan pihak-pihak atasan telah melindungi beliau (Kamaruddin)," katanya kepada malaysiakini .

Kini, katanya, penduduk setinggan terbabit tidak tahu kedudukan status pemindahan mereka kerana majlis penerangan dan dialog tersebut tidak diadakan.

Haniff berkata, mengikut notis yang dikeluarkan oleh Kesturi, penduduk terbabit diminta berpindah ke penempatan projek perumahan rakyat (PPR) di Jinjang.

Bagaimanapun, katanya, pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ada memberitahu yang pihaknya hanya menyediakan penempatan sementara di PPR Jinjang manakala urusan pembayaran pampasan adalah tanggungjawab Kesturi.

Manakala pihak Kesturi pula memberitahu, pihaknya akan hanya membuat pembayaran selepas Kamaruddin menyelesaikan isu pemindahan setinggan berkenaan.

"Mengikut notis, penduduk terbabit diminta berpindah ke PPR Jinjang pada September ini tetapi kini semuanya tidak pasti," katanya lagi.

Katanya, sebahagian besar penduduk terbabit telah tinggal di situ sejak berpuluh tahun lalu dan mereka sepatutnya diberi pertimbangan sewajarnya, termasuk jumlah pampasan sebagaimana yang diamalkan sebelum ini.

Kamaruddin tidak dapat dihubungi sejak semalam.