Muncul di TV3: Chua Jui Meng nafi dapat bantuan luar
Naib Presiden MCA Datuk Chua Jui Meng hari ini menafikan bahawa beliau menerima "bantuan luar" dalam kempennya untuk mencabar presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting semasa pemilihan parti pada 20 Ogos ini.
Naib Presiden MCA Datuk Chua Jui Meng hari ini menafikan bahawa beliau menerima "bantuan luar" dalam kempennya untuk mencabar presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting semasa pemilihan parti pada 20 Ogos ini.
"Jika saya mempunyai bantuan dari luar, maka saya tidak perlu berkerja keras macam ini. Baik saya tunggu rancangan perdamaian yang akan menjadikan saya presiden," katanya kepada Bernama semasa ditemui di kediamannya di Bukit Damansara, di Kuala Lumpur.
Chua berkata demikian merujuk kepada Ong dan Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Chan Kong Choy yang kedua-duanya sebelum ini merupakan naib presiden dan naik ke jawatan sekarang melalui Rancangan Perdamaian 2002 yang diusahakan oleh Perdana Menteri pada masa itu Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menamatkan krisis dalaman parti itu.
Soal menerima bantuan dari luar dikemukakan kepada Chua ekoran kemunculannya di program bisnes mingguan TV3 "The Exchange" Jumaat lalu bersama Timbalan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, untuk membincangkan cadangan Pemuda Umno memperkenalkan semula Dasar Ekonomi Baru.
Chua, yang sebelum ini mengadu tidak banyak menerima publisiti dalam media berbahasa Cina dan Inggeris, beberapa daripadanya dikuasai oleh sayap pelaburan MCA, berkata kemunculannya di televisyen adalah atas jemputan daripada TV3.
Kurang publisiti
"Apabila saya menerima jemputan saya hanya berkata ya, dan tidak pun tahu siapa yang saya akan berdepan dengan," katanya.
Chua berkata para perwakilan harus membuat keputusan sendiri berdasarkan kepada keperluan masyarakat Cina.
Menurutnya, keputusan untuk bertanding jawatan presiden bukan kerana mahu memecahbelahkan parti tetapi mahu memberi peluang kepada perwakilan untuk menggunakan hak demokrasi mereka untuk memilih pemimpin.
"Selama enam tahun, para perwakilan tidak menggunakan hak mereka untuk mengundi. Enam tahun dalam politik adalah tempoh yang agak lama. Sekarang, adakah anda mahu berkata jangan mengundi kerana ia akan memecahbelahkan parti ?" kata Chua.
Kali terakhir pemilihan bagi pucuk pimpinan MCA diadakan pada tahun 1999.

