Keadaan Endon Alhamdulillah, kata Najib
Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata Datin Seri Endon Mahmood masih menjalani rawatan bagi penyakit barah payu dara di Amerika Syarikat, dengan ditemani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata Datin Seri Endon Mahmood masih menjalani rawatan bagi penyakit barah payu dara di Amerika Syarikat, dengan ditemani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Setahu saya Datin Seri Endon dalam keadaan Alhamdulillah, sedang menjalani rawatan," kata Timbalan Perdana Menteri kepada pemberita ketika diminta mengulas khabar angin berhubung keadaan isteri Perdana Menteri.
Sambil menolak khabar angin itu sebagai tidak berasas, Najib berkata beliau baru sahaja berhubung dengan Perdana Menteri pagi ini dan diberitahu mengenai kesihatan Endon.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, ada pihak tidak bertanggungjawab yang mempunyai tujuan tertentu menyebarkan maklumat tidak benar mengenai kesihatan Endon.
Abdullah berlepas ke Amerika Syarikat Isnin lepas untuk melawat Endon yang sedang menjalani rawatan kemoterapi sejak lebih sebulan lalu.
Kenyataan Pejabat PM
Sementara itu, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, Endon menunjukkan respons yang positif terhadap rawatan kemoterapi di Amerika Syarikat.
"Program rawatan ini sedang berjalan dengan lancar dan Datin Seri menunjukkan respons yang positif," demikian Dr Lawrence Piro yang merawatnya.
Dr Piro juga berkata, Endon bergiat aktif dan merasa sihat.
"Beliau mempunyai sikap yang teguh serta semangat yang besar dan ini mempengaruhi keadaannya secara baik," katanya.
Endon sedang menerima rawatan kemoterapi Abraxene yang belum diperkenalkan di Malaysia, yang menurut Dr Piro, terbukti berkesan dalam menangani kanser payu dara.
Menerusi kenyataan itu, Endon merakamkan penghargaan beliau kepada semua rakyat yang telah memberi sokongan dan mendoakan kesihatannya.
Ketika ini, beliau ditemani oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta anggota keluarga yang lain.
Kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri itu diiringi gambar yang menunjukkan Endon duduk di meja makan bersama Abdullah dengan anaknya, Nori, dan menantunya, Azrene Abdullah, berdiri di belakang.
Turut bersama mereka ialah sahabat karib Endon yang juga Ketua Eksekutif Yayasan Budi Penyayang, Leela Mohamad Ali, dan juga Dr Piro serta isterinya.
Kenyataan penuh
"Datin Seri Endon Mahmood ingin merakamkan penghargaan beliau kepada semua rakyat yang telah memberi sokongan dan mendoakan kesihatannya.
Ketika ini Datin Seri sedang meneruskan rawatan di Amerika Syarikat dan kini ditemani oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta ahli keluarga yang lain.
Doktor yang merawat beliau, Dr Lawrence Piro berkata: "(Datin Seri) bergiat aktif dan merasa sihat. Beliau mempunyai sikap yang teguh serta semangat yang besar dan ini mempengaruhi keadaannya secara baik.
Beliau sedang menerima rawatan kemoterapi Abraxene yang belum diperkenalkan di Malaysia tetapi terbukti berkesan dalam menangani kanser payu dara.
Program rawatan ini sedang berjalan dengan lancar dan Datin Seri menunjukkan respons yang positif."

