Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Terengganu hari ini menetapkan 10 Ogos ini sebagai tarikh perbicaraan seorang bekas ustazah pengikut ajaran sesat Ayah Pin atas tuduhan mengaku dirinya murtad.

Hakim Mohamad Abdullah menetapkan tarikh tersebut selepas tertuduh, Kamariah Ali, 57, bekas ustazah dan lulusan pengajian agama dari Asia Barat, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan kerana mengisytiharkan dirinya bukan Islam.

Kamariah dituduh membuat pengakuan pada kira-kira jam 12.50 tengah hari di Mahkamah Rendah Syariah Besut, di hadapan Hakim Wan Abdul Malik Wan Sidek, yang dia bukan Islam untuk mengelak dikenakan tindakan mengikut Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana mengingkari faktwa pihak berkuasa agama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana mendakwa bukan Islam. Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Kamariah dan seorang lagi pengikut Ayah Pin, Daud Mamat, telah memfailkan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Rabu lalu, memohon perintah supaya mereka dibebaskan, kerana mahkamah syariah tidak mempunyai bidangkuasa, kerana mereka telah keluar dari Islam pada bulan Ogos 1998.

Bicara 1 September

Beliau merupakan satu-satu daripada 45 pengikut Ayah Pin yang didakwa di mahkamah yang sama hari ini, atas tuduhan mengingkari fatwa tahun 1997 terhadap ajaran Ayah Pin, yang tidak dibenarkan ikatjamin.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang membawa hukuman didenda tidak lebih RM3,000 atau dipenjara sehingga dua tahun.

Kesemua mereka minta dibicarakan dan kes tersebut akan disebut sekali lagi di mahkamah yang sama pada 1 September depan.

Mereka adalah sebahagian daripada 59 pengikut Ayah Pin yang dibawa ke balai polis daerah Besut untuk disoalsiasat pada 20 Julai lalu, yang kemudiannya ditahan. Bagaimanapun, seramai 30 wanita dan lima kanak-kanak termasuk tiga anak Ayah Pin kemudiannya dibebaskan.

Seramai 27 daripada 45 pengikut Ayah Pin itu 22 wanita dan lima warga tua dibenarkan ikatjamin RM2,000 tiap seorang oleh Mahkamah Rendah Syariah Besut pada 28 Julai lalu dan kes mereka dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Terengganu atas permintaan pihak pendakwa.

Hari ini, kecuali Kamariah, mahkamah berkenaan membenarkan yang lainnya dibebaskan denan ikatjami RM2,000 tiap seorang.