Lim Si Pin anak tunggal Presiden Gerakan Datuk Seri Lim Keng Ya akan mengumumkan Rabu depan, keputusannya berhubung jawatan yang akan ditandinginya pada pemilihan parti.

Si Pin yang merupakan bendahari kebangsaan Pemuda Gerakan berkata beliau akan mengumumkan keputusannya itu selepas mesyuarat Jawatankuasa Pusat Pemuda Gerakan.

"Saya ada beberapa cadangan.... tetapi saya hanya akan mengumumkannya pada 12 Ogos," kata perundingan kewangan berusia 36 tahun itu kepada Bernama.

Si Pin memberitahu demikian sebagai mengulas spekulasi yang beliau akan bertanding jawatan lebih tinggi dalam Pemuda untuk memainkan peranan lebih besar dalam kepimpinan utama parti di masa depan.

Menurut ahli parti dan pemerhati politik, beliau akan bertanding jawatan nombor dua dalam Pemuda, yang kini disandang oleh Lee Kah Choon.

Peralihan kepimpinan

Lee dilaporkan berkata tidak akan mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan 26 Ogos ini, teapi akan mempertahankan jawatan sebagai ahli Jawatankusa Kerja Pusat (CWC) parti.

Lee, yang juga Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan berkata menjelang 2008, tujuh ahli kanan pergerakan Pemuda parti akan melepasi had umur 45 tahun.

Oleh itu, dengan memberikan laluan kepada pemimpin lebih muda sekarang, ia melancarkan peralihan kepimpinan pergerakan itu menjelang tahun 2008, katanya.

Sementara itu, Si Pin ketika menafi atau mengesahkah ketika ditanya sama ada akan bertanding jawatan nombor dua pergerakan itu, dan sekadar berkata: "Saya akan beritahu anda 12 Ogos ini".

Dalam perkembangan lain, Ling Hee Leong, anak lelaki bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik akan bertanding jawatan Timbalan Ketua Pemuda MCA dalam pemilihan parti akan datang.

Hee Leong, 36, seorang ahli perniagaan, ialah Ketua Pemuda MCA bahagian Kuala Kangsar.