Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting berkata beliau bukan sengaja menganjurkan pelbagai majlis sepanjang tempoh kempen menjelang pemilihan parti itu 20 Ogos ini, tetapi ia adalah atas pemintaan para perwakilan.

Ong berkata, pada masa ini, beliau menjalankan tugas sebagai presiden MCA serta juga menteri seperti biasa dan mengadakan banyak pertemuan kerana perwakilan mahu berjumpa dengannya.

"Bukan saya sengaja nak anjur pelbagai majlis tetapi perwakilan yang mahu berjumpa dan meminta saya memberi penerangan dan pandangan saya...jadi saya anggap ini adalah sebagai satu tugas saya sebagai presiden," katanya.

Ong yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan memberitahu pemberita demikian selepas mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli MCA Negeri Sembilan di Seremban malam tadi.

Menurut laporan Bernama, beliau bakal dicabar bekas Menteri Kesihatan dan Naib Presiden MCA Datuk Chua Jui Meng bagi jawatan presiden dalam pemilihan parti itu kali ini.

Mengenai pertandingan tersebut, Ong berkata, beliau tidak akan mengambil mudah pertandingan kali ini walaupun beliau menerima sambutan dan sokongan positif untuk mengekalkan jawatannya.

"Saya juga tidak menganggap tentu akan menang dengan cemerlang dan saya yakin perwakilan mempunyai pemikiran matang dan mereka boleh membuat penilaian dan analisa mengenai apakah yang lebih penting bagi memilih seseorang calon," katanya.