Ketua Umno Bahagian Segambut, Senator Datuk Kamaruddin Ambok mengakui menerima sumbangan kewangan RM15,000 dari pemaju lebuh raya Duta-Ulu Kelang (Duke) untuk majlis hari raya di rumahnya pada 4 Disember lalu.

Beliau berkata, pemaju Konsortium Lebuhraya Utara Timur (KL) Sdn Bhd (Kesturi) memberi sumbangan tersebut atas nama beliau selaku Ahli Dewan Negara untuk jamuan hari raya dan bukannya kepada dana Umno bahagian tersebut.

Kamaruddin berkata demikian sebagai menjawab dakwaan Ketua Umno Cawangan Kampung Sejahtera, Segambut, Mohd Hanif Ali Akbar bahawa beliau telah menyalahgunakan wang sumbangan Kesturi.

Mohd Hanif membuat dakwaan tersebut dalam aduannya kepada pihak polis, Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan ibu pejabat Umno baru-baru ini.

Dalam aduannya itu, Mohd Hanif mendakwa, Kamaruddin telah menerima RM15,000 dari Kesturi untuk mengadakan majlis dialog dan penerangan bagi pemindahan setinggan yang terbabit dengan projek berkenaan.

'Tuduhan tidak berasas'

Bagaimanapun, dakwanya, Kamaruddin telah meminta Kesturi supaya memasukkan wang tersebut ke dalam akaun pembantu peribadinya, Hassan Sulaiman.

Sebaliknya, Mohd Haniff mendakwa, wang tersebut tidak digunakan untuk mengadakan majlis berkenaan, tetapi digunakan untuk membiayai majlis sambutan Aidifitri di rumah Kamaruddin.

Menurut Kamaruddin lagi, sehingga hari ini, majlis dialog pemindahan setinggan penduduk Kampung Sejahtera di kawasan yang terbabit dengan pembinaan lebuhraya Duke itu belum diadakan kerana tarikh pemindahan mereka belum diputuskan lagi.

"Apa yang saya tahu, pemindahan setinggan Kampung Sejahtera ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jinjang ditangguhkan kepada satu tarikh baru,"katanya.

Beliau berkata, Kesturi akan mengadakan majlis dialog dengan penduduk terbabit apabila mereka akan dipindahkan ke PPR Jinjang.

Sementara itu, Kamaruddin menyifatkan laporang yang dibuat oleh Mohd Hanif terhadap dirinya itu sebagai "tidak berasas dan tidak boleh dilayan sama sekali".