Ketika pemilihan pucuk pimpinan MC tinggal dua minggu lagi, calon jawatan presiden, Datuk Chua Jui Meng mendakwa ada pihak yang menyekat perwakilan daripada berjumpa dengannya.

Beliau yang juga naib presiden MCA berkata, sepatutnya, perkara seumpama itu tidak seharusnya berlaku kerana pemilihan tersebut berlandaskan demokrasi.

"Saya kesal perkara ini berlaku. Sepatutnya pemilihan yang berlandaskan demokrasi dan semua perwakilan bebas berjumpa dengan mana-mana pihak," katanya kepada Bernama di Kota Bharu.

Chua akan menentang penyandang jawatan itu, Datuk Seri Ong Ka Ting dalam pemilihan parti itu yang dijadualkan pada 20 Ogos depan.

Katanya, perwakilan di Kelantan semakin berani tampil dan berjumpa dengannya dan terserahlah kepada mereka bagi menentukan hala tuju MCA pada masa depan.

Politik wang

Sementara itu, Timbalan Presiden MCA Datuk Chan Kong Choy ketika ditemui Bernama mengingatkan perwakilan supaya mengamalkan amalam bersih ketika kempen dan pemilihan nanti.

"Sebagai pengerusi biro disiplin, saya telah beberapa kali mengingatkan perwakilan supaya memastikan pemilihan kali ini bersih daripada politik wang dan melaporkan secara bertulis jika mendapati ada pihak yang cuba berbuat demikian," katanya.

Menurutnya, biro disiplin tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengamalkan politik wang dan mereka akan dikenakan tindakan tegas termasuk di singkir daripada parti.

Naib Presiden Datuk Fong Chan On pula berkata perwakilan perlu bijak membuat pemilihan bagi memantapkan parti dan yakin dapat membantu Barisan Nasional Kelantan merampas kerajaan Negeri Kelantan daripada PAS dalam pilihanraya akan datang.

Fong yang juga pengerusi MCA Kelantan berkata sepanjang pemerintahan PAS, kerajaan negeri itu tidak membantu pembangunan dan ekonomi negeri.