Umno tidak akan menghalang mana-mana pihak termasuk Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengadakan siasatan ke atas ahli parti itu di Kelantan, kata pengerusinya, Datuk Annuar Musa.

Sebaliknya, kata beliau, Umno Kelantan bersedia memberi kerjasama kepada BPR untuk menjalankan siasatan tersebut.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ahli parti supaya memberi kerjasama kepada BPR jika badan itu mahu menjalankan siasatan terhadap mereka.

"Mungkin BPR mempunyai sebab tertentu untuk membolehkan mereka menjalankan siasatan terhadap mana-mana individu termasuk ahli Umno," kata kepada malaysiakini .

Beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai Ketua Umno Bahagian Kubang Kerian, Fauzi Ismail yang dipanggil oleh BPR Kota Bharu semalam.

Fauzi dipanggil oleh BPR Kelantan untuk memberi kenyataan dipercayai berhubung kes tuntutan palsu.

'Jangan buat andaian'

Bagaimanapun, Annuar berkata, walaupun dipanggil dan disiasat oleh BPR, tetapi ia tidak bermakna seseorang itu telah didapati bersalah melainkan dia sudah dibuktikan di mahkamah.

"Jangan buat andaian secara melulu sebaliknya kita semua (ahli Umno) membenarkan BPR menyelesaikan siasatan terhadap seseorang ahli," katanya.

Menurutnya, adalah tidak adil untuk mengatakan seseorang itu telah melakukan kesalahan hanya berdasar kerana mereka dipanggil oleh BPR.

Fauzi, yang tiba jam 2 petang di pejabat BPR negeri di Wisma Persekutuan di Kota Bharu, berada di situ selama tiga jam.

Ketika ditemui pemberita kemudian, Fauzi sekadar berkata yang pihak BPR memanggilnya memberi keterangan, tetapi enggan mengulas apabila ditanya mengenai kes yang yang disiasat badan tersebut.

Menurut Bernama , tuntutan palsu itu dipercayai melibatkan wang sejumlah RM250,000 berhubung program Ihya Ramadan dan program Pemimpin Bersama Rakyat tahun lalu.