Malaysia menyifatkan kenyataan Menteri Pertahanan Thailand, Thammarak Isarangura bahawa Malaysia bukan tempat perlindungan kumpulan pelampau dan militan, sebagai kenyataan rasmi kerajaan Thailand.

Oleh itu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bukan tempat perlindungan kepada kumpulan pelampau dan militan seperti yang diakui oleh kerajaan Thailand.

Najib merujuk kepada kenyataan Thammarak itu semasa menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Malaysia-Thailand pada 2 Jun lalu.

"Yang lain, terutama liputan dalam surat khabar, jangan ambil kira sangat, kalau tidak...asyik gaduh sahaja," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas laporan akhbar mengenai dakwaan itu.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Timbalan Ketua Polis Wilayah Satun Kolonel Seree Wilailuck mendakwa mendapat maklumat ada anggota Pertubuhan Pembebasan Pattani Bersatu (PULO) menyusup ke negara ini tanpa sebarang tindakan daripada pihak berkuasa tempatan.

Urusan perniagaan

Menurut Bernama, ketika ditanya mengenai perkara itu, Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata, bukan menjadi kesalahan bagi rakyat Thailand masuk ke Malaysia dan rakyat negara ini memasuki negara itu.

"Kalau mereka terlibat dengan kegiatan jenayah, kita harus dimaklumkan siapa (orang terbabit) untuk memudahkan kita mengambil tindakan.

"Setakat ini, mereka tidak memberi maklumat dan adakala mereka memaklumkan juga," katanya.

Ketika ditanya sama ada kerajaan bercadang memagar kawasan sempadan dalam usaha menyekat kemasukan kumpulan seumpama itu, Najib berkata kerajaan boleh mempertimbangkan cadangan itu dalam tempoh jangka panjang tetapi usaha itu menelan belanja besar.

"Satu daripada budaya masyarakat di sempadan ini memang keluar masuk, ini perkara biasa dan banyak urusan perdagangan di kawasan sempadan dibuat secara harian dan itu pun kena fikirkan," katanya.