Syarikat minyak negara, Petronas akan hilang tanggungjawab sosial dan objektif strategiknya kepada negara sekiranya disenaraikan di Bursa Malaysia, kata Ketua Pasukan Perunding Khas Globalisasi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Prof Dr Mahani Zainal Abidin.

Katanya, Petronas kini memainkan peranan yang besar dari segi pemberian subsidi untuk menjamin harga minyak dan gas dalam negara rendah.

"Sekiranya Petronas disenaraikan, maka ianya akan menjadi seperti syarikat minyak lain seperti Shell dan Exon-Mobil dan akan hilang tanggungjawab sosial dan objektif strategiknya kepada negara," katanya dalam Program Isu Semasa yang disiarkan secara langsung oleh TV1 malam tadi.

Beliau menegaskan demikian sebagai menjawab soalan seorang pemanggil yang bertanyakan mengapa Petronas tidak disenaraikan sedangkan langkah itu akan memberi keuntungan berpuluhan bilion ringgit yang boleh digunakan semula untuk meneruskan subsidi minyak.

Program sejam itu yang dihoskan Sayed Munawar Sayed Mustar turut disertai penasihat Persekutuan Persatuan Pengguna MalaysiA (Fomca) Prof Datuk Hamdan Adnan.

Menurut Bernama, Mahani berkata, jika Petronas disenaraikan di Bursa Malaysia, tindakan itu tidak akan menguntungkan negara dan rakyat.

"Simpanan minyak dan gas negara dijangka berakhir dalam masa 19 tahun lagi. Apabila ini sudah berakhir, dari mana Petronas boleh terus mendapatkan minyak untuk menjamin harga terus rendah," katanya.

Beliau juga tidak menolak bahawa harga minyak akan terus naik memandangkan negara dijangka berubah dari sebuah negara pengeksport minyak sekarang kepada negara pengimport minyak pada 2009.

Katanya, sungguhpun Petronas mencatatkan keuntungan lebih RM31 bilion tahun lalu, namun dua pertiga hasil minyak negara dikuasai dua syarikat asing Shell dan Exxon-Mobil.

Hamdan: Harga barang naik

Sekiranya harga minyak tidak dinaikkan, katanya, sebahagian besar keuntungan Petronas akan tersalur kepada syarikat minyak asing itu.

Jumlah subsidi yang akan ditanggung kerajaan tahun ini berikutan kenaikan harga minyak minggu lepas dijangka berada pada tahap RM14.5 bilion, tambahnya.

Hamdan pula berkata pengguna secara amnya sedar bahawa subsidi minyak tidak boleh diteruskan tetapi apa yang lebih membimbangkan adalah kenaikan harga barang yang akan berlaku setiap kali harga minyak dinaikkan.

"Kita perlu ada ketelusan dari banyak segi, terutamanya rakyat perlu tahu ke manakah perginya hasil keuntungan Petronas dan ianya perlu dijelaskan," katanya.

Beliau juga bimbang kesan kenaikan harga minyak terhadap keluarga yang berpendapatan rendah tetapi menpunyai anak serta tanggungan yang ramai.

"Bagi mereka yang mempunyai anak yang ramai di sekolah, sudah tentu akan menghadapi kenaikan lain seperti tambang bas dan belanja untuk anak-anak mereka. Kerajaan perlu mencari cara untuk memastikan tidak ada sesiapa pun yang tercicir kerana kemiskinan," katanya.

Beliau turut mengesa masyarakat pengguna supaya lebih berjimat dalam penggunaan minyak serta peka terhadap kenaikan harga barangan dengan membeli di tempat yang menawarkan harga yang rendah.