DEB: Umno didakwa sengaja alihkan perhatian rakyat
Dua badan bukan kerajaan mendakwa bahawa Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini telah sengaja mengalih perhatian rakyat daripada faktor-faktor yang menyebabkan kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) kepada usaha menghidupkan semula DEP melalui Agenda Baru Nasional (ABN).
Dua badan bukan kerajaan mendakwa bahawa Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini telah sengaja mengalih perhatian rakyat daripada faktor-faktor yang menyebabkan kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) kepada usaha menghidupkan semula DEP melalui Agenda Baru Nasional (ABN).
Institut Pengemblengan dan Pembangunan Komuniti (Impak) dan Teras Pengupayaan Melayu (Teras) mendakwa, ini kerana Umno sengaja tidak mahu mengaku sebab-sebab sebenar kegagalan DEB dan kepincangan pemimpin-pemimpin Melayu sepanjang pelaksanaan dasar tersebut.
"Penegasan semula DEB tidak memberi makna, selagi kajian terhadap kesilapan dan kesalahan pendekatan DEB sejak diperkenalkan pada 1970 hingga 1990 tidak diperbetulkan oleh pemimpin Melayu dalam Umno," kata Impak dan Teras dalam satu kenyataan bersama.
Dalam kenyataan bersama itu, Pegerusi Impak, Mahfur Omar dan Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid menggariskan enam faktor yang menurut mereka menjadi punca kegagalan DEB, iaitu:
- Wujudnya penekanan berlebihan bagi memperbanyakkan agensi yang dikatakan untuk membantu orang Melayu, tetapi ia tidak memastikan pendekatan berkesan dilaksanakan untuk membantu orang Melayu, terutama di luar bandar.
- Wujudnya kemewahan hidup pemimpin Melayu di kalangan menteri, timbalan menteri serta pemimpin Umno sehingga ke peringkat ketua bahagian yang membolotkan kekayaan untuk kepentingan diri.
- Wujudnya amalan kronisme atas nama bangsa Melayu dan penyaluran bantuan kepada beberapa kerat Melayu yang terpilih sehingga berlaku longgokan kekayaan kepada segelintir orang Melayu sahaja. Majoriti Melayu terpinggir dan tidak mendapat bantuan secara adil dan saksama.
- Wujudnya amalan politiking yang sangat negatif di kalangan pemimpn Umno, menyebabkan ramai orang Melayu yang tidak sealiran dengan pihak berkuasa dinafikan untuk mendapat bantuan sewajarnya.
- Ketiadaan sistem kawalan rapi dalam proses penswastaan pelbagai agensi kerajaan yang sepatutnya dimanfaatkan oleh orang Melayu, tetapi sebaliknya menguntungkan segelintir Melayu tertentu sahaja.
- Gagalnya pendekatan 'memperkayakan segelintir orang Melayu' untuk meningkatkan kekayaan keseluruhan bangsa Melayu. Pendekatan ini tidak memberi manfaat melimpah kepada orang Melayu seperti yang diharapkan. Sebaliknya berlaku longgokan kekayaan di kalangan segelintir tertentu sahaja.
Lapan tuntutan
"Berdasarkan faktor-faktor di atas, maka kegagalan DEB untuk membantu kaum Melayu, tidak sepatutnya dituding hanya kepada sikap dan minda orang Melayu sahaja," kata mereka.
Oleh itu, kata mereka, selagi 'pembersihan dan pemurniaan' mekanisme DEB tidak diperbetulkan, maka selagi itulah penegasan semula DEB yang disyorkan dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, tidak memberi apa-apa makna.
Oleh itu, mereka berpendapat ada asas untuk golongan bukan Melayu merasa resah dan cemas bila isu DEB ini dibangkitkan semula oleh Umno, walaupun para pemimpin Umno, kemudiannya menegaskan ia bukan isu berkauman dan kerajaan tidak menafikan hak kaum lain untuk maju.
Impak dan Teras juga membangkitkan beberapa isu yang didakwanya membuktikan berlaku penyelewengan dalam DEB antaranya, dalam pengagihan AP, usaha menyelamatkan projek penswastaan, pengurusan tidak cekap GLC, ketirisan projek kepada bukan bumiputera, dan kontraktor bumiputera tidak mendapat bayaran.
Selain itu, kata mereka, ada IPTS bumiputera yang gulung tikar, kesempatan pendapatan golongan petani, banyak tanah orang Melayu diambil atas nama pembangunan dan pelajar Melayu yang layak, tidak dapat masuk ke IPTA kerana pelaksanaan dasar meritokrasi.
Berikutan itu, Impak dan Teras mengemukakan lapan tuntutan untuk dilaksanakan jika pihak kerajaan benar-benar mahu membela nasib orang Melayu, iaitu:
- Menyiasat dan bertindak tegas terhadap amalan rasuah dan kronisme di kalangan pemimpin dan pegawai tinggi kerajaan.
- Menyiasat kekayaan dan gaya hidup mewah di kalangan pemimpin Umno.
- Mewujudkan sebuah badan bebas untuk menilai dan memantau semua projek penswastaan yang telah dan akan dilaksanakan supaya penyelewengan dapat dibanteras.
- Mewujudkan sebuah bebas untuk menapis semua tender projek kerajaan bagi memastikan tidak berlaku amalan kronisme serta pilih kasih berdasarkan kecenderungan politik.
- Mengkaji semula keberkesanan semua agensi-agensi kerajaan yang diwujudkan untuk membantu masyarakat bumiputera sepertu UDA, Mara, Tabung Haji, Felcra, Felda dan Risda.
- Menilai semula keputusan kerajaan untuk meneruskan dasar meritokrasi supaya keadilan dan hak golongan berpendapatan rendah mendapatkan peluang ke IPT tidak terjejas.
- Mengambil tindakan segera bagi mengatasi kenaikan kos hidup yang memberi kesan yang berat kepada golongan miskin, terutama petani, nelayan, buruh kasar, pekerja, peneroka dan pekebun.
- Mengkaji semula kesan perbadanan ekonomi kerajaan negeri yang membolot projek-projek pembangunan dan menjejaskan syarikat-syarikat bumiputera kecil yang bergantung pada projek-projek berkenaan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.