Perdana Menteri hari ini berkata kerajaan sedang mengkaji keperluan untuk meminda sama ada Akta Universiti dan Kolej Universiti atau peraturan kampus agar pelajar memberikan perhatian sepenuhnya kepada akademik.

"Kita hendak kaji Akta Universiti dan Kolej Universiti dan peraturan lain, mungkin dipinda, mungkin tidak. Kalau kita hanya perlu mengadakan perubahan berkenaan dengan peraturan-peraturan dan itu memadai, kita tak payah buat pindaan apa-apa," kata Dr Mahathir Mohamad, selepas mempengerusikan sesi ketiga majlis Dialog Belanjawan 2002 di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau juga berkata kerajaan akan mengetatkan lagi peraturan universiti bagi mengelakkan kampus-kampus dijadikan "pusat kegiatan luaran."

Jika pelajar didapati menggunakan kemudahan kampus untuk kegiatan yang tidak berkaitan dengan keperluan akademik, mereka boleh dipecat, katanya lagi seperti dilaporkan agensi berita nasional Bernama .

Tambahnya, kerajaan akan meneruskan hasratnya itu "walau akan menerima bantahan daripada pihak-pihak tertentu."

Perdana Menteri berkata pelajar seharusnya "melengkapkan diri untuk menjadi tonggak tenaga kerja yang progresif dan inovatif" kerana negara ini "sangat memerlukan tenaga manusia berkemahiran tinggi dan berpengetahuan untuk menyokong pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan."

Beliau juga mengkritik badan-badan bukan kerajaan (NGO) walau mendakwa badan-badan ini "penting dan perlu wujud subur kerana ia dapat membantu kerajaan meningkatkan keberkesanan programnya."

"Negara tidak memerlukan NGO yang bersikap negatif, sentiasa mengkritik dan membuat tohmahan kepada kerajaan," beliau dipetik sebagai berkata. "Mereka (NGO) bukan sahaja tidak membantu kerajaan, malah sebaliknya menjadi jurucakap pihak asing untuk memburukkan negara sendiri."

Tindakan NGO seperti ini telah menakutkan pelabur dan seterusnya menjejaskan usaha kerajaan meningkatkan kualiti hidup rakyat, tambahnya.