Akhirnya, Datuk Seri Kerk Choo Ting mendapat sokongan untuk mempertahankan jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti itu 27 Ogos depan.

Sokongan datangnya dari Jawatankuasa Perhubungan Parti Gerakan Negeri Sembilan yang mahu Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik dan Kerk masing-masingkan mengekalkan jawatan presiden dan timbalan presiden sehingga 2008.

Setakat ini sembilan negeri menyokong Dr Lim dan Dr Koh Tsu Koon untuk jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu.

Dua lagi negeri yang masih belum membuat sebarang ketetapan ialah Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pengerusi Gerakan Negeri Sembilan Datuk Woo Ah Lek berkata jawatankuasa perhubungan negeri itu turut menyokong Senator Datuk Dr S. Vijayaratnam dikekalkan sebagai seorang daripada tiga naib presiden parti itu.

Menurut Bernama, dua lagi penyandang jawatan naib presiden ialah Dr Koh dan Dr Tan Kee Kwong.

"Jika selepas tahun 2008 Dr Lim tidak lagi menjadi Presiden Gerakan, maka dengan itu kita mengambil pendirian untuk menyokong Dr Koh Tsu Koon dipilih sebagai presiden parti yang baru.

"Pada umumnya kita menyokong agar Dr Lim, Kerk, Dr Koh dan Dr Vijayaratnam untuk terus memimpin Gerakan," katanya di Seremban hari ini.

Woo yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri berkata keputusan itu dicapai pada mesyuarat jawatankuasa perhubungan negeri di sini malam tadi.