Tan Sri Zaki Tun Azmi telah menghantar surat perletakan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno pagi ini atas sebab-sebab peribadi, demikian mengikut sumber-sumber Umno.

Menurut Bernama, beliau menyerahkan surat perletakan jawatannya itu kepada Pengerusi Lembaga Disiplin parti, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail pada pukul 9.15 pagi.

"Tengku akan menentukan langkah seterusnya," kata satu sumber.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan bahawa Zaki, 60, membuat keputusan meletak jawatan itu kerana sebab-sebab peribadi.

Beliau dilantik menjadi Timbalan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno pada 7 Februari 2005.

Zaki pernah menjadi penasihat undang-undang Umno sebelum dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Teknikal yang membuat cadangan kepada Jawatankuasa Disiplin Umno mengenai politik wang.

Ketika diminta mengulas perletakan Zaki itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, Majlis Tertinggi parti akan meneliti perkara itu sebelum membuat sebarang kenyataan.

Najib: MT akan kaji

Najib berkata, pada masa ini beliau belum menerima apa-apa laporan mengenai tindakan Zaki itu.

"Nanti kita tengok fakta kes dahulu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Tabung Perwira Maybank-NSTP.

Najib berkata bahawa jika perlu, MT boleh mengkaji semula kedudukan Zaki dalam Lembaga Disiplin Umno(sama ada untuk menerima atau menolak peletakan jawatan itu).

Ini kerana pelantikan beliau sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Disiplin dibuat oleh MT sendiri.

"Tapi saya percaya Tan Sri Zaki bukanlah seorang yang mahu menyusahkan Umno," katanya.