rencana Akhbar-akhbar rasmi prokerajaan masih menyimpan niat negatif terhadap pelajar Universiti Malaya walau siasatan menunjukkan tiada perbuatan khianat yang menyebabkan kebakaran Dewan Tunku Canselor.

Sejak hari pertama kebakaran itu, media utama milik parti-parti kerajaan cuba mengaitkan kejadian itu dengan penyebaran risalah beberapa hari sebelum itu yang membantah kehadiran Perdana Menteri dan pengedaran majalah tahunan Varsiti 2001 pada awal Jun.

Kadang-kadang tragedi dewan bersejarah itu dikaitkan dengan kewujudan persatuan-persatuan pelajar, khususnya di kampus itu, yang sering lantang mengulas isu-isu semasa. Kegiatan yang paling popular dicetuskan oleh kumpulan mahasiswa itu termasuklah menggesa penghapusan kadar empar peratus PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), demonstrasi di masjid berdekatan dan terbaru, menyertai kempen membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam GMMI (Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA).

Kumpulan aktivis siswa ini disebut antikerajaan. Bagaimanapun Dr Mahathir Mohamad tokoh utama yang mempopularkan istilah 'pelajar militan' - sebagai reaksi segeranya terhadap kebakaran DTC.

Semua laporan mengenai kebakaran itu sejak dua minggu lalu umumnya mengaitkan dengan risalah anti-Mahathir dan majalah Varsiti 2001 . Hingga hari ini, akhbar masih cuba memaksa kita semua mempercayai kebakaran itu berpunca daripada kewujudan risalah dan majalah tersebut. Dalam istilah semasa, akhbar-akhbar ini cuba manufacturing consent (membina persetujuan).

Satu laporan agensi berita nasional semalam menulis begini apabila memberitakan kenyataan PM berhubung DTC: "unsur perbuatan khianat tidak boleh ditolak kerana pada masa yang sama, terdapat risalah yang disebarkan termasuk melalui Internet supaya para pelajar memboikot kedatangan pemimpin tertentu ke universiti itu beberapa hari sebelum kejadian."

Sementara sebuah akhbar harian Melayu hari ini menulis begini: "Kebimbangan mengenai kemungkinan kebakaran itu berpunca daripada perbuatan khianat disebabkan wujudnya usaha pihak tertentu untuk menghasut pelajar UM menghalang kehadiran Perdana Menteri."

Penggunaan tenaga elektrik

Dua laporan ini memetik kenyataan Dr Mahathir semalam yang berkata beliau "tidak menolak kemungkinan perbuatan khianat" yang menjadi punca kebakaran itu.

Bagaimanapun, Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam siasatannya dilaporkan menolak sebarang perbuatan khianat sebagai punca kejadian yang memusnahkan 90 peratus bangunan itu pada awal pagi 29 Jun lalu .

Laporan Berita Harian Khamis lalu menyebut, jabatan itu mengenal pasti tiga sebab kejadian itu: sistem pendawaian yang telah usang, pertambahan penggunaan elektrik dan usia bangunan yang hampir 40 tahun.

Jabatan itu dilaporkan berkata sistem pendawaian DTC sudah usang kerana belum pernah diganti sejak bangunan itu dibina. Penggunaan tenaga elektrik di dewan itu pula meningkat kerana pemasangan pelbagai peralatan semasa persiapan menganjurkan 'Simposium Penegasan Arah Tuju Idealisme Mahasiswa di Alaf Baru' yang dirasmikan penutupannya oleh Perdana Menteri pada 1 Julai.

Sebenarnya risalah yang membantah kehadiran Dr Mahathir itu berbunyi begini: "Tahu tak anda siapa yang akan masuk ke kampus anda pada 1 Julai ini? Itulah dia... PM. Adakah anda sanggup menerima kehadiran pengkhianat ini? Bersama-samalah dengan kami membantah kehadirannya pada 1 Julai, 2001. Masa: 9.30 pagi. Bertempat: Depan DTC (UM)." (Lihat laporan muka depan Utusan Malaysia , 30 Jun)

Sesiapa pun yang menyebar risalah ini awal-awal lagi tidak terlintas hendak memusnahkan dewan itu atau pernah terfikir DTC akan terbakar - jika tidak, kenapa perlu mengajak orang ramai berkumpul di depan dewan itu pada waktu pagi hari itu untuk membantah kehadiran PM?

Lainlah, jika risalah itu menyuruh siswa atau orang ramai membakar dewan atau bangunan-bangunan lain di situ. Atau, pengedaran majalah itu turut menyuruh pelajar membakar DTC. Majalah itu pula dipenuhi kenyataan bantahan persatuan siswa apabila mengulas isu-isu semasa dan juga beberapa tulisan yang mengkritik pemimpin negara - tidak lebih daripada itu.

Oleh itu, awal-awal lagi kita (jika ada otak!) tidak boleh mengaitkan risalah itu atau majalah tersebut dengan kejadian kebakaran DTC.

Persoalan lebih menarik

Tetapi laporan Berita Harian dan Utusan Malaysia tetap mengaitkan kebakaran itu dengan risalah berkenaan dan Varsiti 2001 .

"Kebakaran awal pagi ini mengakibatkan kerugian sebanyak RM12.4 juta. Ia berlaku ketika terdapat gerakan yang cuba menghalang kehadiran Perdana Menteri antaranya menerusi penyebaran risalah kecil di dalam kampus UM sejak beberapa hari lalu," laporan Utusan bertajuk 'Dewan Tunku UM dibakar? -- Berlaku ketika PM dijadual bertemu 3,000 mahasiswa di situ esok' dipetik.

"Sejak beberapa bulan lalu, kegiatan sebahagian pelajar di UM yang menentang kerajaan semakin ketara termasuk pengedaran majalah Varsiti 2001 yang sarat dengan penulisan berbentuk tohmahan dan hinaan terhadap pemimpin kerajaan selain gerakan kumpulan pelajar haram dan beberapa demonstrasi pelajar."

Sementara Berita Harian dengan tajuk 'Kebakaran dewan UM disyaki angkara khianat' melapor begini: "Kebakaran itu disyaki akibat perbuatan khianat berikutan penemuan beberapa risalah yang membantah kehadiran beberapa pemimpin..."

Pada halaman 2 akhbar itu, dua berita utama berhubung kejadian itu mengulang-ulangkan lagi penyebaran risalah kecil itu dan juga majalah berkenaan. "Persoalan itu (pelajar militan) juga ada kaitan dengan kejadian yang berlaku di Universiti Malaya (UM), termasuk kebakaran Dewan Canselor awal pagi ini. Sebelum itu, UM juga digemparkan oleh penerbitan majalah Varsiti 2001 yang memuatkan pelbagai rencana mengecam kerajaan."

Akhbar itu juga turut memetik memorandum Puteri Umno yang menyebut, antara lain, "... khususnya penghasilan majalah Varsiti 2001 dan risalah menghalang kemasukan Perdana Menteri ke UM."

Persoalan yang lebih menarik timbul kini: kenapa universiti itu, naib canselornya, pemimpin pelajarnya dan aktivis siswa umumnya menjadi sasaran akhbar-akhbar prokerajaan dan pemimpin Umno.

Apakah sebenar-benarnya agenda tersirat di sebalik kempen antipelajar kini?


FATHI ARIS OMAR bertugas sebagai editor berita malaysiakini