Bolehkah seorang anggota Lembaga Disiplin Umno, yang terbabitkan dalam kontroversi perceraian, menghakimi pelakuan moral orang lain?

Ini persoalan yang dibangkitkan peguam Datuk Zaid Ibrahim, yang telah digantung keahliannya selama tiga tahun oleh Lembaga Disiplin Umno kerana mengkritik lembaga itu di Dewan Rakyat.

Zaid, yang juga ketua Umno bahagian Kota Bharu, berbuat demikian selepas beliau didapati bersalah oleh lembaga berkenaan terbabit dalam politik wang dalam pemilihan Umno tahun lalu, dan diberi amaran.

Beliau kini mempertikaikan kredibiliti lembaga tersebut yang menggantung keahliannya kerana ia turut dianggotai oleh Tan Sri Zaki Azmi yang kini terbabit dalam kontroversi perceraian.

Katanya, apabila Zaki yang juga timbalan pengerusi lembaga tersebut menghakimi orang lain bersandarkan kepada alasan moral dan etika, maka beliau sendiri mesti mengamalkannya.

"Jika tidak, beliau perlu meletakkan jawatan...langkah yang paling sesuai baginya ialah meletakkan jawatan.

"Dan berikutan itu juga, mereka perlu menimbang semua kes saya. Ia dalam rayuan tetapi banyak sebab mengapa mereka patut mengkaji semula kes saya sekarang," katanya ketika ditemui.

Letak jawatan

Manakala Bernama memetik sumber-sumber Umno sebagai berkata, Zaki telah menghantar surat perletakan jawatan sebagai timbalan pengerusi Lembaga Disiplin Umno pagi ini atas sebab-sebab peribadi.

Beliau dikatakan telah menyerahkan surat perletakan jawatannya itu kepada Pengerusi Lembaga Disiplin parti, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail pada pukul 9.15 pagi.

Beliau dilantik menjadi Timbalan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno pada 7 Februari 2005. Zaki pernah menjadi penasihat undang-undang Umno sebelum dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Teknikal yang membuat cadangan kepada Jawatankuasa Disiplin Umno mengenai politik wang.

Media melaporkan hari ini bahawa Zaki dijangka meletakkan jawatannya dalam lembaga tersebut berikutan kes perceraian dengan isteri keduanya.

Zaki, 60, berkahwin dengan Nor Hayati Yahaya, 32, pada bulan Mei tahun ini. Beliau telah membuat permohonan kepada Mahkamah Syariah untuk mengisytiharkan perkahwinannya itu batal dan tidak sah.

Dakwa terima ancaman

Pasangan tersebut dikahwin oleh seorang kadi dari Thailand dan kedua-duanya juga bersetuju untuk memusnahkan sijil asal perkahwinan mereka bagi menyembunyikan perkara tersebut daripada pengetahuan isteri pertamanya.

Mereka juga mencapai persetujuan sebelum perkahwinan tersebut, akan membawa haluan masing-masing, sekiranya perkahwinan mereka menghadapi masalah.

Berikutan timbulkan masalah dalam perkahwinan mereka, maka Zaki telah menceraikan Nor Hayati pada 10 Julai lalu.

Sejak itu, Zaki mendakwa beliau telah menerima pelbagai ancaman dari Nor Hayati, antara lainnya, menuntut RM10 juta daripadanya.

Dia juga dikatakan telah mendesak Zaki supaya mendaftar perkahwinan mereka. Jika Zaki gagal berbuat demikian, dia mengancam akan mencemarkan reputasi Zaki. Terjemahan/ berita asal