Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS percaya Agong dapat nasihat
Diterbitkan:  Jul 9, 2017 11:40 AM
Dikemaskini: 3:54 AM

PAS percaya Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja telah mendapat nasihat perundangan sebelum berkenan melantik Tan Sri Md Raus Sharif (gambar) sebagai hakim tambahan untuk tempoh tiga tahun lagi.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, PAS percaya nasihat pelantikan itu diberikan berdasarkan tafsiran Fasal (1A) Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan berhubung keanggotaan Mahkamah Persekutuan.

"Bagaimanapun PAS berasakan amat wajar pihak berkenaan bertindak dengan lebih proaktif dengan memberikan maklumat terpeinci mengenai perkara ini supaya tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat serta mengelak kemungkinan berlakunya konflik perundangan berpanjangan yang merugikan tenaga dan rakyat," kata Takiyuddin dalam satu kenyataan media.

Pada masa sama, Takiyuddin turut menyokong cadangan Majlis Peguam Malaysia untuk memanggil Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi membincangkan isu tersebut secara ilmiah.

Semalam, presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk merayu Agong dan Majlis Raja-Raja membuat ketetapan berikutan lanjutan perkhidmatan dua hakim kanan negara ini.

Ini berikutan kontroversi pelantikan Md Raus sebagai ketua hakim negara untuk tempoh tiga tahun lagi dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai presiden Mahkamah Rayuan bagi tempoh dua tahun.

Tempoh perkhidmatan mereka masing-masing sepatutnya berakhir pada 4 Ogos dan 28 September ini.

Bekas hakim dan Badan Peguam Malaysia bagaimanapun berkata lanjutan itu bercanggah dengan ketetapan perlembagaan yang menyatakan seseorang hakim wajib bersara selepas berusia 66 tahun enam bulan.

Lihat Komen
ADS