Kerajaan digesa tubuh tribunal kawal kenaikan harga
Parti Keadilan Rakyat mendakwa keraaan tidak berkemampuan, malah tidak memperlihatkan sebarang keazaman politik, untuk mengawal kenaikan harga barangan keperluan harian rakyat berikutan kenaikan harga petrol dan diesel.
Parti Keadilan Rakyat mendakwa keraaan tidak berkemampuan, malah tidak memperlihatkan sebarang keazaman politik, untuk mengawal kenaikan harga barangan keperluan harian rakyat berikutan kenaikan harga petrol dan diesel.
Timbalan Presidennya, Dr Syed Husin Ali berkata mengikut laporan akhbar yang berdasarkan maklumat dari badan-badan pengguna, harga lebih 200 barangan keperluan naik antara 5 hingga 50 peratus.
"Tinjauan yang kami buat juga menunjukkan trend yang hampir serupa. Kami telah memberikan amaran bahawa perkara ini pasti akan berlaku," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, katanya, PKR membantah sekeras-kerasnya "pesta kenaikan harga" yang sudah bermula sekarang, akibat kenaikan harga minyak petrol dan diesel.
"Rancangan inflasi sifar sudah lama dikuburkan. Harga petrol dan diesel berkali-kali dinaikkan. Harga barangan keperluan naik, bukan saja selepas kenaikan harga minyak serta diesel, bahkan juga tiap-tiap kali sebelum menyambut hari-hari perayaan.
"Lepas naik tidak pernah turun. Sebaliknya, kenaikan gaji bagi mereka yang berpendapatan rendah tidak naik sekerap itu, dan kalau naik pun kecil sekali. Oleh kerana itu, kenaikan harga barang-barang keperluan menjadi beban paling berat ke atas mereka," katanya
Bagi menjaga kepentingan rakyat ramai, Dr Syed Husin menggesa kerajaan menubuh tribunal bagi mengawal kenaikan harga barangan tersebut.
Diberi kuasa mendakwa
"Anggota tribunal ini hendaklah terdiri daripada tokoh-tokoh yang berwibawa serta tidak mempunyai kepentingan ekonomi dan politik.
"Tugas utama Tribunal ialah untuk memantau dan mengawal kenaikan harga barang, dan membuat siasatan apabila ada aduan dibuat kepadanya tentang kenaikan harga barang yang tidak munasabah," katanya.
Seboleh-bolehnya, tambah beliau, tribunal tersebut diberi kuasa membawa mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan secara tidak munasabah ke mahkamah.
"Kami mengharapkan peruntukan undang-undang juga akan diadakan bagi mahkamah mengenakan hukuman teladan yang berat ke atas mereka yang bersalah.
"Selain itu, pihak tribunal boleh juga membuat kajian dari semasa ke semasa untuk menasihat atau memperakukan kepada kerajaan tentang cara-cara terbaik bagi mengawal harga barangan keperluan dengan berkesan," tambanya.
Naik sehingga 50 peratus
Akhbar Utusan Malaysia melaporkan hari ini bahawa harga barangan keperluan mencatatkan kenaikan antara lima hingga 50 peratus.
Antaranya ialah ayam (dari RM6 kepada RM6.99), cili merah (RM8 kepada RM10), ikan bawal (RM12.50 kepada RM13.90), daging lembu import (RM8.50 hingga RM9), telur gred A bagi 30 biji (RM8.40 kepada RM8.50) dan ikan sardin dalam tin (RM2.10 kepada RM2.30).
Menurut akhbar tersebut, maklumat terkini itu diperoleh daripada persatuan-persatuan pengguna selain tinjauan wartawan
Utusan Malaysia
sendiri, ekoran kenaikan harga petrol dan diesel, masing-masing 10 sen dan 20 sen berkuatkuasa 31 Julai lalu.
Harga susu pekat naik antara lima hingga 10 sen menyebabkan harga minuman teh tarik dinaikkan daripada 80 sen kepada 95 sen (gelas kecil) dan RM1 kepada RM1.15 sen (gelas besar).
Tinjauan akhbar berkenaan di beberapa pasar di sekitar Lembah Klang pula mendapati berlaku kenaikan harga bagi beberapa jenis barangan keperluan harian, termasuk ikan merah RM20 sekilogram (sebelum RM15); kacang panjang RM4 (sebelum RM3) dan ikan sardin cap ayam 155 gram RM2.30 (sebelum RM2.10).
Kelmarin Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Shafie Apdal menjangkakan harga kira-kira 255 jenis barangan terutama keperluan harian akan naik ekoran kenaikan harga minyak, antaranya minyak masak, telur, ayam, daging, sayur-sayuran, kelapa dan beras.
Manakala tinjaun Persatuan Pengguna Islam Malaysia pula mendapati kenaikan bukan sahaja melibatkan barangan runcit, tetapi juga minuman dan makanan yang telah dimasak, termasuk nasi lemak berlauk naik dari RM2.50 kepada RM3 sepinggan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.