41 bantah ISA depan kem Kamunting ke mahkamah esok
Seramai 41 penyokong pembangkang, termasuk 10 wanita, yang ditangkap ketika mengadakan perhimpunan bagi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di depan kem Kemunting, Perak hari ini akan dibawa ke mahkamah magistret Taiping esok.
Mereka akan didakwa atau direman selanjutnya selepas ditahan malam ini di balai polis Taiping. Kumpulan penyokong itu ditangkap polis antara jam 3.15 hingga 4 petang tadi selepas disuraikan dengan meriam air dan polis pencegah rusuhan.
Tahanan itu termasuklah Aliza Jaffar, isteri seorang pemimpin Parti Keadilan Nasional yang kini ditahan dua tahun di kem itu, Saari Sungib. Aliza, bersama lima anak perempuannya termasuk yang berusia lebih 2 tahun, sempat melawat suaminya tengahari tadi.
Lebih 200 anggota polis berpakaian seragam dan biasa dikerahkan untuk menyuraikan lebih kurang 1,500 penyokong itu, termasuk kumpulan yang berkereta beramai-ramai dari arah Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Penyokong pembangkang bersurai sebaik sahaja selepas kejadian itu.
Kira-kira jam 6 petang tadi, lebih 200 penyokong pembangkang berkumpul di depan balai itu bagi menunggu senarai lengkap nama yang ditahan, sementara 40 anggota Pasukan Gerak Am sedang bersiap sedia di dalam kawasan balai. Tiada kejadian tidak diingini berlaku di sini.
Perhimpunan yang bermula kira-kira pukul 2 petang tadi disertai oleh kumpulan penyokong dari ibu kota setengah jam kemudian.
Perhimpunan 'Konvoi Rakyat' itu bergerak ke Taiping sebagai mengiringi isteri-isteri tahanan ISA yang dijadualkan mengadakan lawatan hujung minggu hari ini dan sempena 100 hari tempoh penahanan.
Polis mengadakan lima sekatan jalan raya bermula dari Tapah, Perak hingga berdekatan kem Kamunting, selain Ipoh, Kuala Kangsar dan pekan Taiping.
Enam aktivis reformasi dan pemimpin Keadilan dipenjara di kem itu mulai awal Jun lalu. Selain Saari, Naib Presiden Tian Chua, Ketua Pemuda Mohamad Ezam Mohd Nor, Dr Badrul Amin Bahron, Lokman Noor Adam dan penulis kolum malaysiakini Hishamuddin Rais ditahan di kem itu selepas disiasat dua bulan sejak ditangkap April lalu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.