Majlis Peguam akan menghantar segera surat rayuan kepada semua peguam syarie di Terengganu supaya mewakili 45 pengikut Ayah Pin yang menghadapi kesulitan untuk mendapatkan peguam bagi mewakili mereka dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu.

Pengerusinya Yeoh Yang Poh (kiri) berkata, pihaknya telah memperolehi senarai penuh nama peguam syarie di negeri itu dan akan menghantar surat rayuan itu kepada mereka esok.

"Kami berharap dalam tempoh beberapa hari lagi, kami akan mendapat maklumbalas positif dari mereka," katanya ketika dihubungi semalam.

Ditanya langkah seterusnya jika masalah itu gagal diatasi, Yeoh berkata, beliau berharap Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu akan hanya memulakan perbicaraan selepas semua tertuduh mendapat khidmat peguam.

Katanya, beliau sangat mengharapkan salah seorang peguam syarie di negeri itu akan bersedia mengendalikan kes tersebut.

"Walaupun saya bukan seorang peguam syarie, tetapi berdasarkan kepada hak asas (perlembagaan) kesemua rakyat untuk mendapatkan khidmat peguam, saya pasti pihak mahkamah akan memastikan tertuduh akan mendapat bantuan perundangan," tambahnya.

Pada 4 Ogos lalu, pengikut Kerajaan Langit Ayah Pin mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan mengikut Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir)(Terengganu) 2001 atas dakwaan menghina pihak berkuasa negeri kerana melanggarkan arahan fatwa.

Pengikut Ayah Pin didakwa telah gagal mematuhi fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri itu yang melarang umat Islam menjauhi ajarannya.

Faktor wang

Yeoh berkata, Majlis Peguam 'akan melakukan apa sahaja yang termampu' untuk memastikan kesemua 45 tertuduh diwakili peguam apabila kes mereka disebut semula pada 1 September depan, sambil menambah pihaknya berjaya mendapatkan khidmat seorang peguam untuk mendapatkan ikatjamin bagi mereka sebelum ini.

Menurutnya lagi, jawatankuasa hak asasi manusia Majlis Peguam akan menghantar wakilnya untuk mengikuti perbicaraan itu jika ia perlu berbuat demikian.

Sementara itu, Presiden Peguam Syarie Malaysia, Mohamad Burok berkata kepercayaan tertuduh terhadap ajaran Ayah Pin tidak ada kena mengena dengan kesulitan mereka untuk mendapatkan khidmat peguam seperti yang disangka oleh pihak-pihak tertentu.

"Saya dimaklumkan oleh beberapa peguam di Terengganu bahawa tertuduh mahukan perkhidmatan guaman percuma. Saya yakin adalah peguam-peguam yang bersedia mengendalikan kes mereka jika bayarannya berpatutan. Tetapi kalau percuma...agak susah sikit.

"Bagaimanapun, mereka dialu-alukan menghubungi biro bantuan guaman persatuan kami yang berpejabat di Kuala Lumpur. Saya yakin kami akan dapat berbuat sesuatu untuk memastikan mereka mendapat perkhidmatan guaman," katanya.

Beliau juga yakin bahawa Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu tidak akan meneruskan perbicaraan kes tersebut sehinggalah tertuduh mendapat khidmat peguam.

"Percayalah, pihak mahkamah akan memberi masa mencukupi untuk mereka mendapatkan khidmat peguam. Saya percaya mereka akan diberi layanan yang adil dan saksama," katanya.

Mengenai peguam yang menolak mengendalikan kes itu dengan menjadikan ajaran Ayah Pin sebagai alasannya, Mohamad yang sudah 23 tahun menjadi peguam syarie berkata mereka tidak seharusnya bersikap tidak profesional seperti itu. Terjemahan/ berita asal.