Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz berkata beliau akan memberikan penjelasan mengenai isu Permit Import (AP) dalam mesyuarat Kabinet esok yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Rafidah, yang pertama kali menghadiri majlis rasmi di Kuching selepas pulang dari luar negara kerana menjalani rawatan susulan pembedahan lututnya, berkata beliau telah bercuti sakit selama lima hari.

"Tentulah saya akan menghadiri mesyuarat (Kabinet). Saya akan terangkan mengenainya (AP)," kata selepas menyampaikan ucaptama pada Dialog Pelaburan dan Perdagangan Sarawak dan Seminar mengenai "Peluang dalam Pembuatan dan Perkhidmatan Berkaitan" hari ini.

Menurut Bernama, dialog dan seminar itu dirasmikan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Pada mulanya Rafidah, yang nampak bersemangat tinggi, terutamanya semasa sesi dialog dengan anggota Usahawan Kecil dan Sederhana (SMEs), agak keberatan bercakap dengan media.

'Cukuplah tu'

"Cukuplah tu. Kamu (pemberita) jangan ganggu saya. Saya sedang berseminar," kata beliau apabila ditanya bertalu-talu untuk mendapatkan komennya mengenai AP yang sudah menjadi kontroversi.

Rafidah dilaporkan diminta memberikan pandangan beliau mengenai perkara-perkara berkaitan pengeluaran AP untuk kenderaan motor yang dibangkitkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau telah diminta memberikan penjelasan mengenai perkara itu dalam mesyuarat Kabinet minggu lalu tetapi menteri berkenaan tidak hadir kerana cuti sakit.

Sementara itu, Abdullah berkata di Sepang hari ini, bahawa beliau yakin Rafidah akan hadir pada mesyaurat itu esok kerana menteri berkenaan perlu memberikan penjelasan mengenai isu AP.

Kabinet mahu mendapatkan banyak penjelasan daripada beliau, kata Perdana Menteri pada persidangan akhbar sekembalinya di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) setelah melawat isterinya Datin Seri Endon Mahmood selama seminggu di Amerika Syarikat kerana menjalani rawatan kemoterapi.