Pemuda MCA mahu ahli komponen Barisan Nasional (BN) supaya membincangkan dengan rakan-rakan dalam BN terlebih dahulu sebelum mengemukakan sebarang dasar yang melibatkan masa depan negara dan rakyat pelbagai kaum di negara.

Langkah tersebut, kata Ketua Pemuda MCA, Datuk Ong Tee Keat, akan membolehkan ahli komponen BN memberikan pandangan mereka berhubung cadangan atau dasar yang hendak dilaksanakan.

"Kami berharap sekiranya dasar itu membabitkan masa depan negara, rakyat berbagai kaum, seboleh-bolehnya sebelum dijadikan dasar atau dibentangkan, dimaklumkan kepada rakan kongsi mereka dalam Barisan Nasional," katanya kepada pemberita di Wisma MCA di Kuala Lumpur hari ini.

Ong tidak mempertahankan jawatan Ketua Pemuda MCA tetapi menawarkan diri bertanding jawatan naib presiden dalam pemilihan parti itu 20 Ogos ini.

Katanya, mesyuarat exco pemuda MCA hari ini telah membincangkan isu mengenai Agenda Nasional Baru (ANB) yang dibentangkan semasa perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO baru-baru ini.

Menurut Bernama, beliau berkata, walaupun pemuda MCA sedang giat menghadapi pemilihan parti, ini tidak bermakna mereka tidak perlu dijemput untuk berunding mengenai perkara itu.

"Sebenarnya, bila ANB diumumkan, pihak Pemuda MCA mengetahui mengenainya buat pertama kali. Jadi kami berharap, sekiranya terdapat cadangan sedemikian rupa, kami dapat dibawa berbincang sebelum diumumkan," katanya.

Bagaimanapun, Ong berkata pihaknya tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya dasar yang hendak dilaksanakan itu hanya melibatkan agenda parti terbabit.