AP: Laporan BPR terhadap Lim Kit Siang
Dua bekas pemimpin DAP hari ini membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang yang didakwa mereka telah menjual AP kereta import.
Dua bekas pemimpin DAP hari ini membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang yang didakwa mereka telah menjual AP kereta import.
Mereka Wee Choo Keong (kini Setiausaha Agung Parti Demokratik Malaysia (MDP) dan Song Sing Kwee (Setiausaha Agung Parti Rakyat Malaysia (PRM) membuat laporan tersebut di pejabat BPR Wilayah Persekutuan.
Semalam, Lim telah mencabar Wee, bekas ahli Parlimen Bukit Bintang, supaya membuat laporan itu dalam tempoh 48 jam atau beliau akan dianggap sebagai 'pelawak politik".
Minggu lalu, Wee memberi Kit Siang kata-dua supaya membersihkan dirinya daripada dakwaan skandal AP itu.
Wee dan Song yang ditemani lapan ahli MDP dan PRM berkata, mereka membuat laporan tersebut kerana ia merupakan hak mereka sebagai warga prihatin.
"Kami tiada pilihan, melainkan membuat laporan tersebut dengan harapan, rakyat akan mendapat jawapan kepada persoalan sama ada ketua pembangkang itu dan ahli Parlimen DAP menerima AP dan jika ia, berapa banyak yang telah mereka jualkan dan kepada siapa," kata Wee.
Wee yang juga seorang peguam, mendakwa, Lim dan partinya telah 'menggadaikan' prinsip mereka mengenai ketelusan dan akauntabiliti awam, apabila membisu mengenai dakwaan tersebut.
"Jadi, mulai sekarang, beliau tidak berhak bercakap mengenai prinsip ketelusan, akauntabiliti awam dan salahguna kuasa kerana beliau dan ahli Parlimennya yang lain, tidak bersedia untuk menjawab soalan yang mudah itu atas kepentingan awam," kata Wee.
Sebelum ini, Lim pernah berkata, beliau akan menjawab dakwaan Wee, yang dipecat daripada DAP beberapa tahun lalu, hanya selepas beliau (Wee) membuat laporan kepada BPR.
'Takut dengan kebenaran'
Bercakap kepada malaysiakini sebelum membuat laporan tersebut, Wee mendakwa ketua pembangkang itu takut dengan kebenaran.
"Beliau banyak bercakap mengenai ahli Parlimen dan orang lain menerima dan menjual AP. Jadi mengapa beliau tidak menjawab tuduhan terhadap dirinya dan partinya sendiri?" soalnya.
Wee berkata, MDP tidak bersetuju dengan pemberian AP kepada ahli-ahli Parlimen sama ada dari kerajaan ataupun pembangkang.
"Mereka sepatutnya menyokong industri kereta negara. Mereka mempunyai tanggungjawab yang tinggi kepada negara, berbanding rakyat biasa. Mereka tidak seharusnya membeli kereta import apabila gaji mereka dibayar dengan wang rakyat," tambahnya.
Sementara itu, Song pula mempersoalkan gesaan Lim mengenai amalan dan dasar demokrasi selama ini.
"Semua parti politik dalam Malaysia mengamalkan demokrasi. DAP juga percaya kepada demokrasi, walaupun ia mengamalkan cara demokrasinya sendiri yang didokong oleh Lim," kata beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).
"Kami tidak terperanjat jika pemimpin DAP tidak menjawab cabaran Wee (untuk berdebat). Kami percaya mereka mengharapkan agar perkara ini akhirnya akan dilupai. Kami berharap mereka berani tampil untuk berdebat secara terbuka mengenai isu tersebut," kata Song.
Senarai AP
Lim telah meminta kerajaan supaya mengumumkan senarai pemegang AP sejak sistem itu diperkenalkan pada tahun 1970, supaya rakyat tahu nama ahli perniagaan dan individu yang mengimport kereta pada harga yang rendah.
"Pendirian saya mengenai akauntabiliti dan ketelusan ahli Parlimen dan AP adalah jelas. Saya telah menggesa kerajaan supaya mengumumkan AP individu yang dikeluarkan purata seribu setahun termasuk kepada menteri, timbalan menteri dan ahl Parlimen," kata Lim dalam satu kenyataan semalam.
"Ada perkara mengenai AP dan Ahli Parlimen yang mahu saya cakapkan, dan saya akan tunggu sehinggalah Wee membuat laporan kepada BPR," tambahnya. Terjemahan/ berita asal.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.