Kes ISA Teresa Kok: Mahkamah tolak permohonan kerajaan
Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan kerajaan untuk mendapat kebenaran merayu dalam kes saman oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung penangkapan dan penahanannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), sembilan tahun lalu.
Mahkamah juga memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi RM350,000 serta kos RM10,000 kepada pemimpin DAP itu.
Panel tiga hakim hari ini diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum yang bersidang bersama Tan Sri Hasan Lah dan Datuk Balia Yusof Wahi.
Mereka memutuskan permohonan kerajaan untuk kebenaran merayu itu tidak mempunyai merit.
Pada awal prosiding di mahkamah hari ini, Peguam Kanan Persekutuan Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili kerajaan berhujah bahawa Mahkamah Rayuan tidak menyatakan alasannya secara spesifik dalam memberikan ganti rugi teruk dan teladan kepada Kok.
Beliau turut memberikan contoh dua keputusan oleh Mahkamah Persekutuan yang bercanggah iaitu sama ada ujian objektif dan subjektif digunakan untuk menentukan penangkapan dan penahanan seseorang itu.
“Kami berdoa yang permohonan kami dibenarkan untuk membolehkan kes ini dihujahkan dalam rayuan,” katanya.
Peguam SN Nair yang mewakili Kok menjawab Mahkamah Rayuan telah memberikan alasan-alasannya dalam memberikan ganti rugi teruk dan teladan berikutan rasa terancam dialami anak guamnya.
Beliau berkata mahkamah perlu mengguna pakai ujian objektif yang telah ditentukan dalam kes Herald pada 2014.
Mahkamah memutuskan semua empat responden telah gagal memberikan bukti berwibawa dan mencukupi kepada mahkamah bahawa pegawai yang melakukan tangkapan mempunyai alasan munasabah dan kukuh untuk menangkap Kok.
Dalam penghakiman setebal 36 muka surat, ia menyatakan peruntukan undang-undang tidak patut digunakan oleh pihak berkuasa untuk mengancam dan menakutkan mana-mana orang, tetapi hanya untuk tujuan dibenarkan undang-undang bagi memenuhi objektif tertentu.
Pada 26 Julai tahun lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar dan responden lain gagal menunjukkan bukti yang mencukupi bahawa pegawai yang menangkap Kok mempunyai alasan munasabah dan substantif untuk bertindak demikian.
Mahkamah Rayuan memerintahkan Teresa dibayar RM200,000 sebagai ganti rugi am serta RM150,000 ganti rugi teruk dan teladan.
Panel itu juga mengketepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini menolak saman Teresa terhadap Syed Hamid, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, DSP E Kim Tien dan kerajaan Malaysia.
Pada 13 Mac, 2009, Teresa memfailkan saman terhadap empat pihak itu dengan mendakwa beliau telah ditangkap dan ditahan secara salah di bawah ISA.
Dalam kenyataan tuntutan, Kok berkata pada pukul 11.15 malam 12 September 2008 beliau telah ditangkap di Pearl Tower OG Heights, Kuala Lumpur secara paksa dan berbahaya sebelum dibawa ke balai polis Wangsa Maju, tempat beliau ditahan selama lebih dua jam tanpa diberi kebenaran untuk menghubungi saudara terdekat atau peguamnya.
Beliau mendakwa pada jam 2 pagi, 13 September 2008, di balai berkenaan, beliau dimaklumkan oleh defendan ketiga bahawa beliau ditahan bawah Seksyen 73(1) ISA atas alasan melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh mencetuskan ketegangan dan pergaduhan antara kaum.
Kok, juga ahli parlimen Seputeh, turut mendakwa beliau kemudian dihantar ke sebuah tempat penahanan rahsia dan ditahan di situ sehingga 19 September tahun lalu tanpa dibicarakan.

