Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tuduhan Anwar saya terlibat mengarut, kata Shafee

Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyifatkan dakwaan bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa dirinya terbabit dalam penyambungan perkhidmatan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Makinudin sebagai mengarut.

"Anwar boleh bercakap apa sahaja yang dia suka. Saya tidak akan jawab kerana saya fikir tuduhan itu mengarut,” katanya ringkas kepada Malaysiakini ketika ditanya mengenai dakwaan berkenaan.

Peguam itu ditemui di luar Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini.

Anwar pada Isnin lalu mempersoalkan jika Muhammad Shafee terbabit menyediakan pandangan perundangan serta asas dalam perkara itu dan menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu pada kadar segera mengesahkan perkara itu.

Jumaat lalu, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bahawa Md Raus akan menyandang jawatan Ketua Hakim Negara bagi tempoh tiga tahun bermula 4 Ogos ini selepas dilantik sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan mulai tarikh dan bagi tempoh yang sama.

Menurut kenyataan itu, pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan yang juga hakim tambahan, dibuat mengikut Fasal (1A) Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-raja yang bersidang pada 24 dan 25 Mei tahun ini, telah memperkenankan kedua-dua pelantikan itu.

Sabtu lalu, Badan Peguam Malaysia melabelkan pelantikan dua jawatan tertinggi kehakiman sebagai "terang-terangan menyalahi perlembagaan".

Bagaimanapun, Muhammad Shafee mempunyai pandangan berbeza dan berkata hampir semua orang menyangka Md Raus melantik dirinya sendiri dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin menjadi hakim tambahan.

Namun katanya, bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria adalah orang yang melantik Md Raus sebelum beliau bersara pada 30 Mac 2017.

Dalam perkembangan lain, ketika disoal mengenai dakwaan bahawa dirinya dibayar RM9.5 juta dari akaun bank peribadi Najib bagi khidmatnya sebagai pendakwa kerajaan untuk perbicaraan liwat II membabitkan Anwar, Muhammad Shafee berkata perkara itu sudah dibawa ke mahkamah dan beliau akan menjawab di mahkamah.

"Semua mengarut, perkara itu kini di mahkamah. Jadi saya akan jumpa Anwar di mahkamah mengenai RM9.5 (juta) itu. Nanti kita lihat apakah dia betul," katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini mengarahkan Muhammad Shafee untuk menjawap permohonan Anwar untuk mengketepikan sabitan kes liwat II itu.

Antara lain, Hakim Datuk Kamaludin Md Said mengarahkan Muhammad Shafee untuk mengemukakan afidavit jawapannya hari ini.

Lihat Komen
ADS