Presiden MTUC bentang kertas kerja di seminar PAS
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud akan membentangkan kertas kerja mengenai pelbagai isu pekerja di seminar pekerja anjuran PAS Wilayah Persekutuan pada 21 Ogos ini.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud akan membentangkan kertas kerja mengenai pelbagai isu pekerja di seminar pekerja anjuran PAS Wilayah Persekutuan pada 21 Ogos ini.
Selain itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Hanipa Maidin dan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua akan turut hadir untuk membincangkan isu tersebut, kata Ketua Lajnah Buruh dan Pengguna PAS Wilayah Persekutuan, Md Shukor Aziz.
Menurutnya, seminar tersebut bertajuk Pekerja 2005: Isu pekerja pasca era globalisasi akan diadakan di Hotel Kuala Lumpur International dan dijangka dihadiri oleh 500 pekerja pelbagai peringkat.
Beliau berkata, pihaknya mengambil inisiatif mengadakan seminar tersebut kerana era globalisasi yang sedang melanda negara akan memberi kesan kepada pekerja.
"Malangnya ramai pekerja yang tidak tahu atau mengambil kisah mengenai isu tersebut termasuk masa depan sebagai pekerja," katanya ketika dihubungi hari ini.
Kenaikan harga
Md Shukor berkata, globalisasi dunia akan menimbulkan pelbagai kemungkinan kepada pekerja tempatan, termasuk pembuangan bagi membolehkan keluaran barangan tempatan bersaing dengan produk luar.
Katanya, peserta juga boleh mengemukakan sebarang pertanyaan mengenai pekerja kepada tetamu tersebut.
Beliau berkata, pihaknya juga merancang mengadakan seminar serupa untuk pengguna bagi memberi pengetahuan kepada golongan itu mengenai tindakan yang perlu dibuat untuk menangani masalah kenaikan harga barangan.
Harga beberapa jenis barangan keperluan di beberapa pasar di sekitar Lembah Klang dilaporkan naik, termasuk ikan merah RM20 sekilogram (sebelum RM15); kacang panjang RM4 (sebelum RM3) dan ikan sardin cap ayam 155 gram RM2.30 (sebelum RM2.10).
Kelmarin Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Shafie Apdal menjangkakan harga kira-kira 255 jenis barangan terutama keperluan harian akan naik ekoran kenaikan harga minyak, antaranya minyak masak, telur, ayam, daging, sayur-sayuran, kelapa dan beras.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.