Syarikat lebuhraya diarah umum keadaan jerebu pada pengguna
Semua syarikat konsesi diarahkan supaya mengumumkan keadaan jerebu di lebuhraya masing-masing kepada pengguna melalui papan tanda-papan tanda, termasuk papan tanda elektronik dan saluran radio serta Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).
Semua syarikat konsesi diarahkan supaya mengumumkan keadaan jerebu di lebuhraya masing-masing kepada pengguna melalui papan tanda-papan tanda, termasuk papan tanda elektronik dan saluran radio serta Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).
Ketika mengarahkan demikian, Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, pasukan bantuan kecemasan lebuhraya juga perlu berada dalam keadaan berjaga-jaga dan sentiasa memantau keadaan di sepanjang lebuh raya.
Katanya, syarikat-syarikat terbabit mesti mengambil langkah sewajarnya bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna lebuhraya berikutan keadaan jerebu sekarang.
Samy Vellu berkata beliau menerima laporan bahawa tahap pemandangan di beberapa bahagian di sepanjang lebuhraya tidak memuaskan berikutan jerebu yang semakin teruk.
Lembaga Lebuhraya Malaysia juga sedang menyiasat keadaan itu, katanya ketika dihubungi Bernama di New Delhi, India. Samy Vellu dalam rangka lawatan rasmi seminggu ke India bermula Ahad lalu.
Beliau juga meminta pengguna lebuhraya supaya berhati-hati ketika memandu dan memasang lampu kenderaan apabila melalui bahagian-bahagian lebuh raya yang berjerebu.
"Jika mereka terpaksa berhenti di laluan kecemasan kerana kenderaan rosak, mereka perlu memasang lampu kecemasan sementara menunggu bantuan syarikat konsesi," katanya.
Pakai topeng muka
Samy Vellu berkata pengguna lebuh raya juga perlu menggunakan memanfaatkan kawasan 'Rehat dan Rawat' yang disediakan di sepanjang lebuh raya untuk berehat jika mengalami masalah kesihatan.
Beliau juga meminta majikan memastikan pekerja mereka di tapak-tapak pembinaan memakai topeng penutup muka.
Katanya jika pekerja mengalami batuk-batuk dan selesema, pekerja terbabit perlu segera dihantar untuk mendapatkan rawatan.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Adenan Satem dilaporkan berkata kerajaan mungkin mengisytiharkan darurat di kawasan-kawasan yang teruk dilanda jerebu sekiranya keadaan itu bertambah serius.
Antara tindakan yang mungkin perlu diambil adalah menutup sekolah dan menghadkan waktu bekerja untuk mengurangkan pendedahan orang ramai kepada pencemaran itu, katanya.
Bagaimanapun, sehingga semalam, Indeks Pencemaran Udara (IPU) belum mencapai ke paras itu. Ia mencatatkan paras tidak sihat.
IPU diukur secara: 0-50 Baik, 51-100 Sederhana, 101-200 Tidak Sihat, 201-300 Sangat Tidak Sihat dan 301-500 Berbahaya.
Larang kebakaran terbuka
Sehingga semalam, IPU di lapan kawasan iaitu Ipoh, Seri Manjung, Tanjung Malim, Petaling Jaya, Kuala Selangor, Nilai, Seremban dan ibu kota berada pada paras bacaan melebihi 100 yang merangkumi status tidak sihat.
Manakala Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilaporkan memberi kebenaran kepada semua pengetua dan guru besar membuat keputusan untuk menutup sesi persekolahan jika kawasan mereka teruk dilanda jerebu, dan setiap cuti diganti pada sesi lain.
Katanya, pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh berbincang bagi menentukan langkah-langkah yang perlu diambil berikutan keadaan jerebu yang teruk, khususnya di kawasan Lembah Klang.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) pula telah mengisytiharkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sebagai kawasan larangan pembakaran terbuka berkuat kuasa serta-merta.
Larangan itu bagaimanapun dikecualikan bagi pembakaran mayat; pembakaran bagi upacara agama dan gril atau barbeku.
Ketua Pengarah JAS, Datuk Rosnani Ibrahim berkatamereka yang disabitkan kesalahan tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

