Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelantikan selaras dengan perlembagaan - Ariffin

Proses pelantikan kehakiman bagi Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif dan presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai hakim tambahan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, kata bekas Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria hari ini.

Beliau juga mengesahkan bahawa dirinya membuat cadangan mengenai pelantikan mereka kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Mac lalu.

"Itu dalam rekod. Saya boleh katakan begitu," katanya kepada Malaysiakini.

Arifin mengulas beberapa kenyataan termasuk daripada seorang bekas ketua hakim negara dan Badan Peguam Malaysia, bahawa pelantikan Raus dan Zulkefli masing-masing tidak mengikut perlembagaan.

Namnaya diheret dalam pertikaian perlembagaan ini berikutan nasihatnya kepada Seri Paduka dibuat pada 30 Mac lalu, sementara kerajaan hanya mengumumkan pelantikan berkenaan minggu lalu.

Arifin berkata menurut pandangannya bahawa proses pelantikan dibuat mengikut perlembagaan.

Walau bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut.

"Memandangkan itu kini dipertikaikan, tidak perlu bagi saya mengulas. Tidak sesuai pada masa ini.

"Mereka akan mencabarnya di mahkamah, jadi tidak wajar bagi saya mengulasnya."

Ditanya sama ada beliau akan memberikan pandangannya jika kemelut itu dibicarakan, Arifin berkata: "Ya, mereka perlu menghubungi saya.”

Pada 7 Julai, Jumaat lalu, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bahawa Md Raus akan menyandang jawatan Ketua Hakim Negara bagi tempoh tiga tahun bermula 4 Ogos ini selepas dilantik sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan mulai tarikh dan bagi tempoh yang sama.

Menurut kenyataan itu, pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan yang juga hakim tambahan, dibuat mengikut Fasal (1A) Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-raja yang bersidang pada 24 dan 25 Mei tahun ini, telah memperkenankan kedua-dua pelantikan itu.

Sebelum pelantikan itu, bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad mendakwa bahawa lanjutan tempoh khidmat Raus selepas beliau berusia 66 tahun dan enam bulan akan menjadi tidak berperlembagaan.

Sabtu lalu, Badan Peguam Malaysia melabelkan pelantikan dua jawatan tertinggi kehakiman sebagai "terang-terangan menyalahi perlembagaan".

Sementara, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan jika peguam terkenal Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah terbabit menyediakan pandangan perundangan serta asas dalam perkara itu dan menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu pada kadar segera mengesahkan perkara berkenaan.

 

Lihat Komen
ADS