DAP ingatkan anak MB Johor 15 soalan buat Najib
Selepas dakwaannya berkenaan anak menteri besar Johor dinafikan, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor Sheikh Omar Ali, hari ini membangkitkan persoalan lagi.
Kata Sheikh Omar, adakah Akmal Saufi Mohamed Khaled itu masih mempertahankan 15 soalan yang pernah diajukannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak suatu ketika dulu.
Kata Sheikh Omar, soalan berkaitan derma RM2.6 bilion dan 1MDB pernah diajukan oleh Akmal kepada Najib menerusi Facebooknya pada Ogos 2015.
“Saya ingin bertanya, adakah beliau masih konsisten sehingga hari ini mempertahankan 15 soalan yang dibangkitkan kepada perdana menteri berkaitan isu dana RM2.6 bilion dan 1MDB?” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Isnin lalu, Sheikh Omar - menerusi sebuah rencana di Roketkini bertajuk “Zahid, bukan setakat Johor yang mahu ditawan” mendakwa Akmal Saufi kini cenderung kepada menyertai Parti Pribumi Bersatu (BERSATU).
Bagaimanapun Akmal Saufi yang juga Ketua Penerangan Pemuda Umno Johor Bahru hari ini menafikan kenyataan itu. Sebaliknya dia menegaskan masih menjadi ahli Umno.
Antara 15 soalan yang diajukan Akmal Saufi adalah berkaitan transaksi RM2.6 bilion yang masuk ke akaun persendirian Najib dan bertanya mengenai bukti ia memang derma kepada parti, bukan digunakan untuk tujuan peribadi.
Selain itu Akmal Saufi turut mempersoalkan adakah perdana menteri boleh menerima derma apabila sedang memegang jawatan dalam kerajaan, serta bilakah Najib akan mengisytiharkan kepada Majlis Tertinggi Umno mengenai derma itu.
Sheikh Omar berkata, dengan pelbagai pendedahan berkaitan 1MDB dan Najib baru-baru ini, orang ramai ingin mengetahui pendirian Akmal Saufi.
"Dengan pendedahan baru yang timbul, adakah beliau bersetuju bahawa perjuangan pemimpin seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan skandal 1MDB adalah keutamaan pada masa ini bagi membebaskan Malaysia daripada jolokan negara kleptokrasi?" katanya.

