Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Parti Warisan Sabah (WARISAN) bersikap terbuka jika Pakatan Harapan (HARAPAN) meletakkan calon mereka di kerusi Semporna yang kini diwakili presiden mereka.

Bercakap kepada media di Bukit Damansara, Kuala Lumpur hari ini, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, beliau tidak ada masalah dengan keadaan itu.

"Terserah. Kalau mereka (HARAPAN) nak lawan dengan saya, lawanlah," katanya.

Bagaimanapun Mohd Shafie mengakui peluang untuk menumbangkan BN pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti akan menjadi lebih baik jika wujud kerjasama sesama pembangkang.

Mohd Shafie, 59, mula menceburi politik dengan menjadi anggota parti Usno sebelum menjadi antara tokoh utama membawa Umno ke Sabah pada 1994.

Setahun kemudian beliau memenangi kerusi parlimen Semporna dalam PRU kesembilan.

Perjalanan politiknya juga cerah sehingga dipilih menduduki jawatan naib presiden Umno. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dikatakan pernah menggelarkan Mohd Shafie sebagai "kereta kebal Umno" atas sumbangannya kepada parti berkenaan.

Bagaimanapun ekoran skandal 1MDB yang dikaitkan dengan Najib, keahlian Mohd Shafie dalam Umno digantung majlis tertinggi parti itu pada Julai tahun lalu.

Kira-kira tiga bulan kemudian Mohd Shafie mengambil alih Parti Pembangunan Warisan Sabah dan mendaftarkan semula ia sebagai Parti Warisan Sabah.

Kata Mohd Shafie, langkah pembangkang bertanding di kawasan sama hanya akan memecahkan undi dan menguntungkan BN.

"Apa yang penting ketika ini ialah kita mesti menumbangkan BN," katanya.

Tak mahu terikat

Bagaimanapun bekas menteri kabinet itu menegaskan WARISAN tidak akan menyertai HARAPAN.

"WARISAN ialah parti yang memperjuangkan hak-hak orang Sabah dan negeri Sabah, itu sahaja.

"Kita tidak akan ikut HARAPAN. WARISAN sokong apa dia buat untuk tumbangkan BN, itu saja," katanya.

Kata Mohd Shafie WARISAN tidak akan menandatangani sebarnag perjanjian dengan HARAPAN.

Sebaliknya, kata beliau, parti itu akan kekal bebas.

"Sudah tentu kita mahu bentuk kerajaan pusat tetapi ia tidak bermakna apa saja pemimpin pusat mahu, kami perlu tunduk.

"Kami ada hak sendiri dan itu menjadi keutamaan," katanya.

Ditanya mengapa WARISAN tidak berminat menjadi anggota HARAPAN, Mohd Shafie berkata, partinya tidak bercadang untuk bertanding di semenanjung.

"HARAPAN ada struktur sendiri dan kami tidak mahu terikat dengan struktur mereka di Sabah," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS