Dalam tempoh beberapa hari lalu, Universiti Malaya (UM) telah mengeluarkan tiga notis amaran kepadanya para pelajarnya supaya jangan membabitkan diri dalam aktiviti-aktiviti 'tidak diingini' yang boleh mencemarkan nama baik universiti tersebut.

Notis tersebut, yang dikeluarkan oleh Bahagian Hal-Ehwal Pelajar (HEP), telah ditampal pada papan notis di kampus UM sejak Sabtu lalu.

Notis pertama melarang para pelajar mengedar surat layang, notis kedua melarang mereka menghadiri majlis bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Sabtu ini, manakala notis ketiga melarang mereka mengikuti lawatan melihat api-api di Kuala Selangor.

Notis pertama mengingatkan para pelajar supaya tidak menerbit dan mengedar 'surat layang', risalah haram, berita dan kenyataan palsu yang boleh menghina pihak universiti, dan mencetak bahan-bahan tanpa kebenaran bertulis dari HEP.

Notis dalam bahasa Malaysia itu menyifatkan perbuatan seumpama itu bertentangan dengan nilai-nilai positif dan hasrat kerajaan supaya para pelajar menumpukan sepenuh perhatian mereka kepada pelajaran dan aktiviti-aktiviti yang bersifat intelektual.

Menurutnya, tingkah-laku segelintir pelajar yang pro-pembangkang yang telah mencemarkan nama baik UM, maka pihak universiti terpaksa mengambil tindakan terhadap mereka kerana mengeluar, mencetak dan mengedarkan risalah-risalah haram.

Notis kedua pula melarang pelajar daripada menghadiri seminar anjuran Institut Kajian Dasar (IKD) di Kuala Lumpur Sabtu ini. Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berucap di majlis tersebut.

Badan tidak diiktiraf

Notis tersebut mendakwa bahawa IKD merupakan alat dan ejen parti-parti pembangkang untuk menyebarkan dakyah dan pembohongan terhadap kerajaan.

IKD, ditubuhkan pada tahun 1985, dan dikenali sebagai pasukan pemikir Anwar, yang dibiayai oleh Konrad Adenauer Foundation. IKD menganjurkan persidangan dan seminar untuk golongan pelajar universiti dan belia.

Lawatan melihat api-api

Dalam notis yang sama, UM melarang pelajar universiti itu daripada terbabit dalam seminar, perhimpunan dan demonstrasi anjuran parti-parti politik dan badan-badan yang tidak diktiraf.

Menurutnya, pelajar terbabit akan dikenakan tindakan keras di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 1975.

Notis ketiga pula melarang pelajar daripada mengikuti lawatan untuk melihat api-api di Kuala Selangor anjuran Persatuan Untuk Belia Baru Universiti Malaya (Umany), sebuah badan tidak berdaftar pelajar UM yang dianggap sebagai anti-kerajaan.

UM mendakwa, ia dianjurkan oleh badan yang "tidak diiktiraf" dan tindakan boleh diambil terhadap para pelajar yang menyertainya lawatan tersbut.

Sementara itu, tinjauan rambang oleh malaysiakini di kawasan kampus UM itu mendapati notis-notis tersebut ditampal di semua fakulti dan bangunan asrama.

Timbalan Naib Canselor UM, Prof Dr Mohd Razali Agus tidak dapat dihubungi sejak semalam berhubung perkara tersebut. Terjemahan/ berita asal .