Perwakilan sokong PRM dibubar, gabung Keadilan
Dua pertiga daripada 136 perwakilan Parti Rakyat Malaysia dalam kongres nasional ke-34 petang tadi menyokong usul untuk membubarkan parti itu yang berusia 46 tahun dan meneruskan penggabung dengan Parti Keadilan Nasional.
Usul ini menerima sokongan 95 perwakilan, dan 41 lagi membantah. Sementara empat perwakilan tidak mengundi sebarang usul.
Sementara tiga lagi usul, yang tidak memerlukan sokongan dua pertiga, turut diluluskan dengan majoriti dua pertiga.
Usul-usul itu adalah menyokong percantuman dengan Keadilan, mematuhi perlembagaan parti baru yang dipersetujui oleh jawatankuasa teknikal penggabungan dan memberikan mandat kepada pucuk pimpinan menjalankan langkah-langkah wajar bagi menjayakan usaha itu.
Pengundian dan pengiraan dijalankan secara sulit selama 30 minit mulai jam 7.30 petang.
Ketika merasmikan kongres itu di Kuala Lumpur pagi tadi, Presiden PRM Dr Syed Husin Ali berkata percantuman itu akan membina sebuah parti baru pelbagai kaum dan memainkan peranan penting di kawasan-kawasan pengundi campuran dalam pilihanraya umum akan datang.
Bagaimanapun, penggabungan itu bukan disarankan semata-mata untuk memenangi pilihanraya, tambahnya.
"Apa yang lebih penting, percantuman ini membolehkan kita menawarkan politik pelbagai kaum yang progresif," katanya lagi kepada perwakilan.
Pada 24 Jun lalu, hampir dua pertiga daripada 270 perwakilan dalam mesyuarat agung khas Keadilan menyokong penggabungan dengan PRM.
Usul pertama, menerima percantuman dua parti itu, dan usul ketiga, memberikan mandat kepada Majlis Pimpinan Tertinggi melaksanakan semua langkah ke arah percantuman, mendapat sokongan lebih 60 peratus undi.
Bagaimanapun, mesyuarat itu gagal meluluskan usul kedua, yang memerlukan sokongan dua pertiga, iaitu menerima pindaan-pindaan perlembagaan akibat percantuman tersebut.
Usul itu tidak diperolehi disebabkan keengganan perwakilan menukar nama sekarang kepada Parti Keadilan Rakyat Malaysia.
Perwakilan juga lebih suka mengekalkan warna biru muda pada bendera kini. Usul dua lajur merah ditambah pada sempadan tepi kiri dan kanan bendera, yang dikemukakan oleh majlis tertinggi parti itu, sebagai melambangkan warna asal bendera PRM.
Perwakilan bagaimanapun menyokong 'matlamat perjuangan' 17 perkara yang dipersetujui oleh wakil-wakil penyelaras penggabungan itu yang dilantik oleh kedua-dua parti.
Matlamat parti baru selepas penggabungan termasuklah mewujudkan sebuah negara adil dan demokratik; menghormati sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen; menegakkan kedaulatan undang-undang, media massa serta badan kehakiman yang bebas; menjamin kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan; menghayati Islam sebagai agama Persekutuan serta menghormati hak masyarakat bukan Islam menganut agama masing-masing; dan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi serta pada waktu yang sama menjamin pengguna bahasa-bahasa kaum lain.

