Paling Popular
Terkini
story images
story images

ULASAN l Beberapa hari lalu, Khairy Jamaluddin meminta supaya Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang berundur daripada pentas politik. Ramai penyokong Pakatan Harapan tidak setuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pemuda Umno itu.

Pada pandangan kebanyakan penyokong Pakatan Harapan, golongan tua yang terlibat dengan rasuahlah yang yang perlu berundur, terutamanya mereka yang ada di dalam Umno.

Saya berpandangan ini mesej ringkas Khairy kepada semua politikus yang seharusnya menghabiskan masa bersama keluarga kerana telah terlalu lama memegang kuasa.

Berikanlah peluang kepada golongan muda dan baharu, sampai bila lagi mahu berkuasa? Pemain politik selalunya gemar untuk mengeluarkan kenyataan “double meaning”.

Saya setuju dengan idea memberi ruang kepada golongan muda untuk memegang jawatan penting parti. Pengalaman daripada golongan tua perlu diimbangi dengan semangat dan kritikan anak muda.

Namun malangnya, blok pemerintah dan pembangkang sepertinya tidak gemar memberikan orang muda jawatan penting dalam parti, akhirnya perbincangan parti tersebut hanya dipelopori oleh golongan tua-tua sahaja.

Apa fungsi pengerusi, presiden dan ketua umum?

Saya pernah memuji PKR kerana mewujudkan jawatan khas untuk Rafizi Ramli satu ketika dahulu. Namun, melihat kepada hierarki Pakatan Harapan yang diumumkan semalam, saya mengalami kesukaran untuk memahami fungsi pengerusi, presiden dan ketua umum.

Ini merupakan kali pertama saya melihat sesebuah pakatan/organisasi seolah-olah memiliki tiga
ketua yang berbeza.

Mengikut laporan yang disediakan oleh Malaysiakini, jawatan ketua umum (DS Anwar Ibrahim) terletak di atas sekali diikuti oleh jawatan pengerusi (Tun Mahathir) dan Presiden (DS Azizah).

Adakah ini bermaksud Anwar merupakan orang nombor satu pakatan ini?

Saya percaya bagi sesiapa yang mengikuti berita-berita berkenaan Mahathir sejak memilih untuk berada di blok pembangkang, pastinya mereka bersetuju jika saya katakan mustahil Mahathir ingin Anwar berada pada posisi nombor satu Pakatan Harapan.

Saya tidak tahu apa yang berlaku ketika mesyuarat Majlis Presiden berlaku, tapi nampaknya Mahathir, Anwar dan Wan Azizah merupakan tokoh yang “terkuat” yang dimiliki oleh Pakatan Harapan sehingga mereka terpaksa mewujudkan tiga jawatan yang hampir sama untuk menyenangkan hati semua pihak.

Pada peringkat Pakatan Harapan, saya yakin rakyat Malaysia masih boleh bertoleransi dengan keputusan seperti ini, lebih-lebih lagi para pendukung HARAPAN yang sentiasa berada di belakang para pemimpin mereka.

Saya cuma khuatir jika “pertelagahan orang nombor 1” ini terus berlaku apabila mereka menang PRU14 kelak. Kita tidak boleh mewujudkan tiga jawatan besar seperti Perdana Menteri Malaysia, Presiden Malaysia dan Ketua Umum Menteri Malaysia.

Saya tahu hal itu tidak akan berlaku, namun saya bawakan analogi sarkatik seperti ini untuk memperlihatkan betapa pentingnya untuk memiliki orang nombor satu sesebuah pakatan.

Logo yang teruk

Sebelum ini HARAPAN telah memperkenalkan logo mereka dan mendapat kecaman teruk daripada netizen.

Saya berpandangan ini merupakan taktik untuk memastikan orang berbicara tentang logo pakatan serta menarik sukarelawan grafik untuk berkhidmat di bawah bendera HARAPAN.

Saya fikir ia taktik yang bijak, jika saya di tempat mereka, mungkin saya juga akan menggunakan
taktik yang sama. Semalam mereka memperkenalkan logo baharu untuk HARAPAN, hampir lima minit juga saya menggaru kepala memikirkan strategi mereka.

Saya percaya HARAPAN boleh mereka logo yang lebih baik memandangkan setiap parti mempunyai pereka grafik masing-masing.

Logo penting untuk memberikan “first impression” kepada parti yang bertanding, jika logo sudah menjadi bahan ketawa kebanyakan orang, soalan saya; adakah ia memberi gambaran
yang baik terhadap kesediaan HARAPAN untuk menerajui kerajaan?

Apa-apa pun, logo HARAPAN sudah dipertonton kepada umum. Saya pasti sukar untuk kita melihat logo ini dibatalkan sekali lagi. Pada masa hadapan, saya cadangkan HARAPAN mengadakan pertandingan terbuka untuk mencipta logo dengan hadiah yang setimpal.

Untuk memperlihatkan HARAPAN merupakan pakatan yang mengangkat suara rakyat, gunakan sistem undian dan biarkan rakyat memilih logo manakah yang terbaik untuk menggambarkan gabungan itu.

Janji 100 hari

Melihat kepada tujuh janji yang ditawarkan oleh HARAPAN, saya fikir ia adalah janji-janji yang baik jika dilaksanakan.

Kebanyakan isu yang disentuh adalah berkaitan kelemahan-kelemahan yang gagal dijawab dengan baik oleh pihak pemerintah. Sebagai contoh, isu Felda, harga petrol dan cukai GST.

Politikus memang suka berjanji, tapi selagi mereka tidak menunaikan janji tersebut, adalah
lebih baik untuk kita barhati-hati. Kita tidak mahu terlepas daripada mulut singa, masuk pula ke
mulut buaya.

Selaku seorang mahasiswa, kekecewaan terbesar saya datang apabila isu pendidikan tinggi tidak
dimasukkan sekali dalam janji 100 hari ini. HARAPAN harus ingat, propaganda pendidikan
percuma dahulu pernah memberi kesan terhadap sokongan anak muda dan mahasiswa.

Mereka seolah-olah sudah tidak percaya dengan kuasa undi mahasiswa dan golongan muda apabila tidak menjanjikan apa-apa yang khusus untuk golongan ini.

Pastinya kehadiran Mahathir nanti akan merumitkan usaha untuk perjuangan memberi autoriti penuh kepada universiti. Kita tidak boleh lupa, Mahathir merupakan antara orang yang bertanggungjawab menyediakan kandang untuk mahasiswa dikurung.

Apabila Mahathir punya kuasa yang tinggi lagi, apakah mungkin beliau mahu mengakui kesilapan dan membuka sangkar tersebut? Saya tidak fikir begitu.

Pengundi harus bijak

Nasihat saya kepada semua pengundi PRU14, berikanlah undi anda kepada wakil yang benar-benar akan memperjuangkan nasib anda. Lakukan analisis ringkas sebelum pergi memangkah calon.

Bendera parti tidak akan menjamin apa-apa kerana kebanyakan parti mempunyai masalah tersendiri. Singkirkan politikus angkuh, tak bertanggungjawab dan hanya pandai menabur janji.

Ingatlah kerajaan yang lahir daripada sistem demokrasi adalah kerajaan rakyat.


RAHMAN IMUDA adalah seorang aktivis mahasiswa dan mantan naib yang dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) salah sebuah universiti awam.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS