Kit Siang: Saya tidak pernah gunakan AP
Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang hari ini menafikan yang beliau pernah menjual AP atau secara peribadi menggunakannya untuk mengimport kereta.
" Aduan yang dibuat oleh Setiausaha Agung Parti Demokratik Malaysia (MDP) Wee Choo Keong pada Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang mendakwa saya telah menjual AP, adalah bohong. Saya tidak pernah menggunakan AP untuk mengimport kereta dan saya mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jawapan Lim itu menamatkan persoalan terhadap integritinya dan dakwaan beliau bersikap hipokrit ketika menggesa kerajaan supaya mengumumkan nama semua pemegang AP.
Sebaliknya, kata Lim, Wee telah membuktikan bahawa dia (Wee) bukan sahaja seorang 'pelawak politik' tetapi juga seorang 'desperado politik' yang tidak mempunyai 'rasa bersalah' apabila membuat laporan BPR terhadapnya, sedangkan beliau (Lim) tidak pernah menggunakan AP.
Beliau menggesa Wee supaya mengambill iktibar daripada nasihat Perdana Menteri kepada rakyat Malaysia supaya memberhentikan perbuatan memburuk-burukkan orang lain.
"Saya amat bersetuju dengan sentimen Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu. Perbuatan menyebarkan pembohongan dan dakwaan melalui laporan BPR - seperti yang dilakukan oleh Wee - patut dikeji," kata bekas pengerusi DAP itu.
Agong dapat AP
Menurut Lim lagi, 4,393 AP individu telah dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sejak Januari 2000 hingga Mei 2005.
"AP dikeluarkan, termasuk kepada Yang di-Pertuan Agong, sultan, yang dipertua negeri, perdana menteri, ahli Parlimen, anggota Tentera Udara Diraja Australia (dan) kakitangan kedutaan asing," katanya.
Katanya lagi, senarai tersebut termasuklah mereka yang menyertai 'Program Malaysian My Second Home' anjuran Kementerian Pelancongan, serta rakyat Malaysia yang bekerja atau belajar di luar negara.
Lim berkata, ahli Parlimen yang menggunakan AP tidak melakukan kesalahan rasuah, tetapi menegaskan bahawa Datuk Seri Rafidah Aziz patut menjelaskan sepenuhnya asas dan kriteria pemberian AP individu, purata seribu setahun.
Lim mengesahkan bahawa setiap ahli Parlimen telah ditawarkan satu AP pada tahun 1997 dan bertanya sama ada keputusan itu dibuat oleh kabinet ataupun Rafidah.
Beliau juga ingin tahu mengapa dibuat keputusan untuk memberi AP individu kepada ahli Parlimen.
Lim berkata, beliau tidak akan lagi melayan Wee berhubung perkara itu selepas ini memandangkan banyak lagi isu-isu penting di peringkat nasional yang perlu ditangani. Terjemahan/ berita asal .


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.