Dr Koh sah tanding timbalan, cadang Kerk jadi penasihat parti
Naib Presiden Parti Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon hari ini mengesahkan bahawa beliau akan bertanding bagi jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti itu 27 Ogos ini.
Naib Presiden Parti Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon hari ini mengesahkan bahawa beliau akan bertanding bagi jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti itu 27 Ogos ini.
Katanya, beliau menerima pencalonan itu selepas menerima banyak permintaan daripada ahli akar umbi supaya bertanding jawatan tersebut.
"Atas kehendak ahli parti di peringkat Badan Perhubungan Negeri, saya menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden dan secara ikhlas berharap agar Datuk Kerk Choo Ting (timbalan presiden sekarang) menimbangkan terus berkhidmat sebagai penasihat kebangsaan parti," katanya.
Menurut laporan Bernama, jawatan penasihat itu pernah disandang oleh bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Tun Dr Lim Chong Eu bagi tempoh dari 1980 hingga 1989.
Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, Dr Koh berkata setakat ini, beliau dicalonkan oleh 10 daripada 12 negeri untuk bertanding jawatan timbalan presiden.
Mengenai kemungkinan berlaku perpecahan parti akibat pertandingan jawatan timbalan itu, Dr Koh yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata beliau berharap perkara itu tidak akan berlaku.
"Saya berharap ia tidak berlaku kerana ahli Gerakan telah matang dan
seboleh-bolehnya kami sedang berusaha agar tidak berlaku pertandingan jika Datuk Kerk (foto) menerima jawatan sebagai penasihat kebangsaan," katanya.
Menurutnya, jawatan penasihat merupakan antara jawatan penting parti kerana seseorang penasihat sentiasa dipanggil menyertai mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan memberi pandangan serta nasihat kepada pemimpin parti.
"Jika saya tidak bertanding, mungkin orang lain tetap akan bertanding bagi jawatan itu dan ia akan membawa senario yang lain pula," katanya semasa ditanya mengapa beliau tetap mahukan jawatan nombor dua parti itu.
Katanya kebanyakan ahli mahu beliau berganding bahu dengan presiden
parti Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik sebagai pelapis kepada kepimpinan akan
datang serta membawa rakyat mencapai Wawasan 2020.
Lim pada satu kenyataannya baru-baru ini mengesahkan bahawa beliau
tidak akan terus menerajui parti itu selepas tahun 2007 bagi memberi laluan
kepada barisan pelapis untuk memimpin.

