Bayaran premium: Pejabat Tanah hantar tiga peringatan pada YINK
Pejabat Tanah Kota Setar telah mengeluarkan tiga surat peringatan kepada Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) kerana gagal membayar premium tanah berjumlah RM7.9 juta bagi projek pembinaan lot kedai di Simpang Kuala, Alor Star.
Pejabat Tanah Kota Setar telah mengeluarkan tiga surat peringatan kepada Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) kerana gagal membayar premium tanah berjumlah RM7.9 juta bagi projek pembinaan lot kedai di Simpang Kuala, Alor Star.
Pembantu Tadbir Pejabat Tanah Kota Setar, Sepora Bee Yaakob berkata, sehingga ini pihaknya hanya menerima bayaran premium sebanyak RM91,275 daripada YINK pada 8 Januari 2002.
"Kami mengingatkan YINK supaya menjelaskan premium tersebut mengikut jadual bagi mengelakkan mereka dikenakan penalti," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, berikutan kegagalan tersebut, jumlah tunggakan premium YINK kini berjumlah RM8.8 juta kerana pihak yayasan itu gagal membayarnya sejak tiga tahun lalu.
Beliau berkata, pihaknya akan terus mengeluarkan surat peringatan kepada YINK dan menegaskan sebarang tindakan lanjut akan ditentukan oleh Pejabat Tanah Negeri Kedah.
Sepora berkata, Pejabat Tanah tidak akan mengeluarkan geran hak milik projek lot kedai di Simpang Kuala, Alor Star itu selagi YINK tidak membayar premium tanah itu.
Beliau berkata, kerajaan negeri dalam pekelilingnya kepada semua pejabat tanah di Kedah menyatakan hak milik tidak akan dikeluarkan selagi premium tanah dibayar.
Sementara itu, jurucakap YINK berkata, pihaknya telah menerima notis tuntutan pada 10 Julai lalu daripada 40 pembeli lot kedai tersebut, yang kecewa kerana tidak mendapat hak milik lot kedai tersebut.
Penyelesaian luar mahkamah
Bagaimanapun, katanya YINK sedang mengadakan rundingan dengan syarikat guaman yang mewakili para pembeli terbabit bagi mencari penyelesaian di luar mahkamah.
"Berdasarkan maklum balas, pembeli setuju ia diselesaikan di luar mahkamah jika mereka mendapat geran hak milik masing-masing," katanya.
Jurucakap itu mengaku YINK hanya membayar RM91,275 kepada Pejabat Tanah Kota Setar dan memberi jaminan masalah tersebut akan diselesaikan secepat mungkin.
Katanya, kelewatan membayar premium itu disebabkan oleh beberapa masalah `teknikal' yang dihadapi oleh YINK sehingga menyebabkan pembayaran tersebut tertangguh.
Beliau berkata, jumlah premium tertangguh yang perlu dibayar oleh YINK kepada Pejabat Tanah Kota Setar ialah hampir RM7.9 juta membabitkan 177 pembeli.
Sebelulm ini, para pembeli lot kedai di Simpang Kuala mendakwa YINK tidak membayar cukai tanah kepada Pejabat Tanah Kota Setar menyebabkan mereka tidak mendapat hak milik.
Pengerusi Persatuan Pemilik Lot Kedai Simpang Kuala Abdul Samad Abdul Karim berkata, mereka menghantar surat kepada YINK supaya menyelesaikan masalah hak milik dalam tempoh enam bulan.
Katanya, jika YINK gagal berbuat demikian pihaknya akan mengambil tindakan mahkamah ke atas yayasan itu.
Beliau berkata, pembeli kecewa kerana dalam tempoh hampir 10 tahun mereka belum mendapat hak milik masing-masing.

