Kerajaan akan mengisytiharkan darurat jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah tahap 500 kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Adenan Satem.

Menurutnya, pada masa ini, kawasan yang paling teruk dilanda jerebu dan mencapai paras berbahaya ialah Pelabuhan Klang (410).

Katanya, Kementerian Pelajaran telah dimaklumkan supaya mengarahkan sekolah-sekolah di kawasan berkenaan ditutup

Bacaan IPU bagi Kuala Selangor (327) dan Shah Alam (316) juga berada dalam paras berbahaya. Manakala bacaan IPU di Putrajaya (224) dan Petaling Jaya (204) berada pada paras sangat tidak sihat.

Tujuh kawasan lain yang mencatatkan paras tidak sihat ialah Gombak (189), Tanjung Malim (184), Kuala Lumpur (181), Nilai (156), Country Heights Kajang (157), Seremban (128) dan Jerantut, Pahang (124).

Beliau berkata kawasan-kawasan lain di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU pada tahap sederhana dan baik.

"Jika IPU mencecah tahap 500, kita akan mengisytiharkannya (darurat)," katanya pada sidang akhbar di Kementerian Kesihatan di Putrajaya hari ini. Sidang akhbar itu turut dihadiri Menteri Kesihatan Datuk Chua Soi Lek.

Umum paras IPU

Berikutan itu, kata Adenan, kerajaan telah memutuskan untuk menarik balik larangan pendedahan paras IPU mulai hari ini supaya orang ramai mendapat maklumat terkini mengenai keadaan jerebu di negara ini.

Larangan itu dikuatkuasakan pada tahun 1997 bagi mengelak industri pelancongan ke negara ini tidak terjejas.

Menurutnya, jika paras IPU mencapai 300, maka Majlis Keselamatan Negara akan mengambil pemantauan keadaan jerebu di kawasan terbabit.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata semua aktiviti luar sekolah di Selangor, termasuk persiapan sempena Hari Kebangsaan, dihentikan ekoran jerebu yang teruk.

Arahan pembatalan aktiviti luar kelas itu yang diputuskan pada mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini berkuatkuasa sehingga keadaan jerebu berada pada tahap minimum.

IPU diukur berdasarkan tahap 0-50 baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan 301-500 berbahaya.